Malaysia Dateline

Timbalan Menteri anggap isu cuti terlalu panjang sudah selesai

Pernah mengundang rasa tidak puas hati rakyat yang ‘terkurung’ ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu hari ini menganggap isu permohonan cutinya selama 55 hari bekerja sudah selesai.

Ahli politik bukan dari kalangan pribumi pertama yang menjadi ahli bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilapor enggan menjawab soalan pemberita yang bertanyakan tentang perjalanannya ke New Zealand baru-baru ini.

Ahli Parlimen Segamat berkenaan bahkan menganggap soalan media mengenai perjalanannya ke New Zealand itu sebagai tidak berkaitan dengan demonstrasi sekumpulan peneroka di Ladang Tennamaram di Tanjung Karang, Selangor hari ini yang dihadirinya.

“Tak, tak. Perkara-perkara tu dah selesai, dan ia tak berkaitan (dengan demonstrasi).

“Saya dah buat kenyataan (sebelum ini), kalau nak kita boleh makan dan minum pada hari lain,” lapor Malaysiakini.

Bekas pemimpin PKR yang pernah memberitahu hampir setahun tidak berjumpa isteri dan anak-anaknya itu berkata demikian ketika ditemui semasa demonstrasi yang turut disertai Pengerusi Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Walaupun awalnya tersebar permohonan cutinya berjumlah 55 hari bekerja, tetapi Santhara dilapor berada di New Zealand lebih 80 hari dan hanya kembali ke Malaysia pada pertengahan bulan Mac lalu.