Malaysia Dateline

Timbalan Menteri, Exco patut minta maaf, kata bekas MB Perak

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pemimpin kerajaan perlu melakukan permohonan maaf berikutan penularan gambar mereka di media sosial.

Dalam ciapan di Twitternya, Zambry tanpa menyebut nama pihak yang berkenaan berkata, ada orang menghantar gambar antara dua darjat kepada beliau.

“Jemaah surau diambil tindakan. Menteri dikecuali undang-undang.

“Gambar Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Perak pula sedang menjamu selera beramai-ramai. Posting di sosial media lagi.

“Rakyat nak teladan Yang Berhormat (YB) semua. Silap, minta maaf,” tulisnya di laman Twitter beliau semalam.

Seorang netizen, menggunakan nama pemudabangsa21 menyifatkan, tindakan susulan perlu dikenakan terhadap golongan kenamaan (VIP).

“Minta maaf tidak cukup, tindakan susulan perlu ada sebab rakyat sedang melihat tindakan pihak berkuasa kepada golongan VIP,” katanya.

Seorang lagi netizen menggunakan nama m ly mofaz pula dilihat turut mengecam tindakan pemimpin kerajaan itu.

“Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun boleh buat macam itu lagi, apalagi bila tamat PKP, suruh buat penjarakan sosial lagi la YB ni buat tak kisah,” kecam beliau.