Malaysia Dateline

Timbalan Menteri MITI ke Singapura bagi lawatan kerja tiga hari

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Singapura mulai hari ini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Ong dijadual mengadakan perbincangan dengan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Chan Chun Sing dan Menteri Negara Kanan, Chee Hong Tat untuk bertukar pandangan mengenai keadaan ekonomi global serta peluang perniagaan semasa, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.

Menurut MITI, Ong juga akan menyertai forum Meja Bulat Asia dalam Ekonomi Dunia yang akan berlangsung di Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore.

Malaysia menerima pelaburan langsung asing (FDI) dari Singapura berjumlah RM120.89 bilion atau 19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI sehingga suku ketiga 2018, menjadikan Singapura sebagai sumber FDI terbesar negara, yang menumpukan sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Pada masa yang sama, Malaysia melabur RM95.20 bilion di Singapura atau 19.7 peratus daripada jumlah pelaburan langsung luar negara (DIA) Malaysia, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

Perdagangan Malaysia dengan Singapura pada 2017 mencatatkan US$53.18 bilion, mewakili 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Singapura, yang merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dalam ASEAN, juga adalah destinasi eksport terbesar Malaysia dengan US$31.6 bilion atau 14.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia pada 2017.

— BERNAMA