Malaysia Dateline

Timbalan Menteri Pas nafi vaksin secara ‘walk in’ di KL, Selangor

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim menafikan dakwaan pemberian suntikan vaksin secara terus atau ‘walk in’ kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas mulai 1 Ogos ini.

Menerusi rakaman video reaksinya yang tular di media sosial, Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu mendakwa penyebaran maklumat itu sebagai tidak benar.

Wakil rakyat Pas itu juga menganggap penyebaran maklumat palsu itu mempunyai motif tidak baik terhadap kerajaan.

“Pagi tadi ramai yang hantar WhatsApp, tanya betulkah?” katanya sambil membacakan pengumuman itu yang juga terdapat dalam versi bahasa Inggeris.

Menurut pengumuman itu, mulai 1 Ogos depan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur yang berumur 60 tahun ke atas boleh mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk in’ sahaja di mana-mana 56 Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Bayangkan apa yang akan berlaku. Semua orang akan bersesak di semua PPV. Apabila terlalu ramai orang, nanti ada ambil gambar kemudian tularkan, media pun kata kerajaan gagal.

“Ini tujuan tak betul. Kita dah beritahu apa yang dimaksudkan… untuk buka secara ‘walk ini’ bermaksud pendaftaran automatik dengan menghubungi PPV terlebih dahulu.

“Mereka (PPV) akan berikan (tarikh) temujanji. Itu maksudnya,” kata Ahmad Amzad lagi.

Pada 16 Julai lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, mengumumkan warga emas iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas yang belum mendaftar bagi mendapatkan suntikan pelalian, boleh datang secara terus atau ‘walk in’ di mana-mana PPV di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ahmad Amzad dalam rakaman video menafikan vaksinasi secara ‘walk in’ di KL, Selangor mulai 1 Ogos ini.