Malaysia Dateline

Timbalan Menteri Pas putar belit fakta isu Ekspo 2020 Dubai

Pemuda AMANAH Terengganu kesal terhadap sikap Timbalan Menteri Pas, Ahmad Amzad Hashim yang dikatakan terus menerus memutar belit fakta untuk mempertahankan penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai.

Ketua Pemudanya, Zamir Ghazali berkata, Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dengan sengaja telah memutar belit kenyataan Pengerusi AMANAH Terengganu dalam satu video di laman Facebooknya.

Katanya, Amzad secara naif telah mempersoalkan sama ada Pakatan Harapan atau AMANAH akan memboikot semua negara yang ada hubungan dengan Israel sekiranya mereka (PH) menjadi kerajaan.

“Tidak diketahui sama ada persoalan ini dibangkitkan kerana kenaifan beliau atau kerana cuba untuk menegakkan benang yang basah.

“Tidak pernah timbul isu boikot sesebuah negara. Tetapi ianya seruan untuk boikot Ekspo 2020 Dubai setelah UAE baru sahaja mengiktiraf Israel dan menjemput Israel untuk turut serta.

“Tindakan tersebut telah menyebabkan Palestin menarik diri dari program itu,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama kata Zamir, gesaan AMANAH bertujuan agar Malaysia memberi solidariti kepada Palestin dan rakyat negara itu tidak berseorangan dalam menuntut hak mereka.

Beliau turut menasihati Amzad agar tidak terus memutar belitkan fakta kerana sama sekali tidak timbul isu seruan untuk memboikoit semua negara yang mempunyai hubungan dengan Israel.

“Palestin telah dikhianati oleh satu demi satu negara Arab, adakah sukar sebagai sebuah negara Islam yang sangat dekat dengan perjuangan rakyat Palestin untuk menunjukkan solidariti buat saudara kita?

“Isunya adalah di mana solidariti kita sebagai umat Islam kepada Palestin apabila membiarkan Palestin sendirian protes tindakan memalukan dari UAE ini,” katanya lagi.