Malaysia Dateline

Timbalan Menteri sahkan, darurat bukan kerana Covid tetapi politik

Timbalan Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Ali Biju berkata, pengistiharan darurat yang dipohon oleh kerajaan PN bukan melibatkan pemerintahan tentera, perintah berkurung atau kawalan ekonomi tetapi hanya Parlimen yang digantung.

“Hanya Parlimen yang akan digantung, kegiatan politik dihadkan, dan apa yang dinamakan superhero yang berkata dia ada sokongan yang kukuh dan meyakinkan tidak boleh menakutkan sesiapa lagi,” kata Ali dalam kenyataan beliau, lapor Malaymail.

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Teknologi Hijau berkata, rakyat dan ekonomi tidak akan menghadapi apa-apa masalah dengan pengistiharan darurat ini.

Sebelum ini, Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu dalam kenyataannya menegaskan, langkah permohonan peristiharan darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan disebabkan Covid-19 sebaliknya Muhyiddin sendiri yang “darurat”.

“Bagi saya yang benar-benar darurat ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, bukannya negara,”kata Mohamad dalam kenyataan ringkasnya.

Mohamad juga berkata, Muhyiddin sebenarnya dalam keadaan ‘darurat’ untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Jika alasannya Covid 19, kita sudah ada undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk membasmi wabak ini dengan berkesan, tanpa perlu kepada pengistiharan darurat kepada negara,” katanya.