Malaysia Dateline

Timbalan Menteri PN teruja Agong sebut “kerajaan beta”

Mungkin tidak pernah mengikuti Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen sebelum ini, seorang Senator muda dilihat teruja dengan penggunaan istilah “kerajaan beta” oleh Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Facebook miliknya menulis hebatnya titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Bahkan, Fayhsal yang juga bekas pegawai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menyeru agar titah Seri Paduka itu dibaca sepenuhnya.

What a powerful speech by Tuanku. “Kerajaan Beta”. Khalas. #Daulat Tuanku

“Kerajaan Beta”. Rujuk sampai habis titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda YDPA (Yang di-Pertuan Agong),” tulisnya.

Sehubungan itu, Fayhsal selamba menyimpulkan keabsahan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ekoran peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, 24 Februari lalu.

“Jelas, maksudnya tentang keabsahan dan keteguhan kerajaan Perikatan Nasional. Ditegaskan berkali-kali mengapa kerajaan ini adalah kerajaan yang sah.

“Majoriti yang cukup. Khalas (Selesai). Fahami yang tersurat dan yang tersirat setiap patah perkataan Tuanku,” ujar calon bagi jawatan Ketua ARMADA dalam pertandingan tiga penjuru itu lagi.

Dia turut mengabadikan gambarnya berpakaian istiadat pembukaan penggal Parlimen, tag namanya di tempat duduk Dewan Rakyat serta muka hadapan teks Titah Diraja di media sosial itu.

Fayhsal, 33, dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada 10 Mac lalu susulan tertubuhnya kerajaan ‘pintu belakang’ selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Penggunaan istilah “kerajaan beta” oleh Yang di-Pertuan Agong sudah menjadi kelaziman sebelum ini termasuk ketika PH menjadi mendapat mandat di peringkat Persekutuan.

Antaranya, semasa Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14 pada 17 Julai 2018 yang menyaksikan penampilan pertama Pakatan Harapan (PH) sebagai blok kerajaan.

Kerajaan beta akan meneruskan pelaksanaan pelbagai program dan projek bagi memastikan semua rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan termasuk di Sabah dan Sarawak,” titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ketika itu.

Dalam Titah Diraja pada 11 Mac tahun lalu, Sultan Abdullah juga bertitah, “Kerajaan beta sedar peningkatan kos sara hidup merupakan antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Untuk rekod, mana-mana parti politik yang menjadi kerajaan sekali gus menjadi Kerajaan Seri Paduka Baginda.

Penggunaan ungkapan “Urusan Seri Paduka Baginda” juga digunakan dalam urusan surat-menyurat rasmi kerajaan sejak dahulu lagi.