Timbalan Menteri Umno tak sabar nak baca buku Pas

Timbalan Menteri Umno tak sabar nak baca buku Pas

Timbalan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak sabar untuk membaca 21 judul buku yang dibelinya di MyHarakah Bazaar, kedai buku yang terletak di bangunan milik akhbar rasmi Pas, Harakah beroperasi.

Dalam status terbarunya di laman twitter, beliau meluangkan masa membeli koleksi ‘buku-buku tarbiyah Pas’ di kedai buku yang terletak di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur.

“Menarik juga buku-buku di sini yang tidak pernah saya ketemui di kedai buku lain. (Sejumlah) 21 judul buku juga sempat saya beli. Tak sabar nak cari masa membaca ni,” ujar beliau.

Asyraf Wajdi hadir ke pejabat suara rasmi Pas itu bagi memenuhi jemputan sebagai panelis Slot Bicara Harakah.

Topik perbincangan adalah mengenai pasca Himpunan 355 yang berlangsung di padang Merbok, Kuala Lumpur, 18 Feb lalu.

Himpunan bagi menyokong usul persendirian Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) itu turut dihadiri Asyraf Wajdi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pas berharap usul persendirian ahli parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dapat dibentangkan buat kali ketiga pada sesi Dewan Rakyat kali ini setelah ditangguhkan atas permintaan Abdul Hadi dalam dua sesi parlimen lalu.

Ini adalah pertama kali pemimpin Umno dijemput hadir ke pejabat Harakah untuk berdiskusi dengan cogan kata “Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera”.

Selain Asyraf, turut dijemput sebagai panelis ialah bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan Tantawi.

Moderator program ialah Pengarah Komunikasi Korporat Pas Roslan Shahir Mohd Shahir yang juga kolumnis Harakah.

TAGS