Malaysia Dateline

Timbalan Menteri utamakan hal peribadi di saat peniaga buah tanggung rugi

Angkatan Wanita AMANAH Kelantan menzahirkan rasa kecewa di saat peniaga di Pasar Teman (RTC Tunjong) bergelut menjual hasil tani dan terpaksa menanggung kerugian membuang buah pauh kerana tak laku dek kekurangan pelanggan, Timbalan Menteri Pertanian nampaknya lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada membantu mencari solusi.

“Adakah ini yang mahu ditunjukkan oleh Menteri dan Ahli Parlimen dari Parti Islam yang memerintah negara dan negeri,” soal Ketua AWAN Kelantan Dr Hafizah Mustakim.

Sebelum ini katanya mereka kelihatan lebih berminat membeli mercedes di saat rakyat kesempitan sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih malah ada juga Menteri mereka yang terpalit dengan dakwaan berduaan dengan usahawan terkenal.

“Rakyat sebenarnya menunggu kejayaan mereka sebagai pejuang isu umat Islam. Ke mana perginya isu hudud, RUU 355, pembelaan kematian arwah Adib, pengharaman judi dan penjualan arak dan pembelaan pakaian pramugari yang pernah di laungkan sebelum ini. Adakah semua itu hanya retorik dan slogan semata-mata. Rakyat sebenarnya hampa dengan prestasi mereka.

“Mungkin benar pihak yang mengatakan , kerana cara mendapat kuasa itu melalui pintu belakang dan tebuk atap, maka langkah yang menyusul juga sumbang dan tidak betul,” kata beliau dalam kenyataan.

Bagaimanapun lebih mengecewakan katanya, cara perkahwinan yang ditunjukkan itu menimbulkan persoalan urusan dan tatacara perkahwinan amat dititik beratkan dalam agama dan perundangan dalam negara ini kerana ia melibatkan tanggungjawab, hak dan kebajikan semua pihak.

“Seperti tidak percaya perkara seumpama ini boleh dilakukan seorang Ahli Parlimen dan anggota kabinet.
“Beliau bukan sahaja penggubal undang-undang tetapi juga terlibat sebagai pelaksana kerana menganggotai cabang eksekutif urustadbir negara.

“Dalam kes poligami prosedurnya juga amat terperinci kerana ia melibatkan mahkamah menentukan bahawa suami mempunyai kelayakan untuk berkahwin lagi.

“Tentunya kebajikan isteri-isteri dan anak-anak diambil kira. Dengan tersebarnya video ini , kita boleh membayangkan kesannya kepada isteri dan anggota keluarga terbabit. Tidak kah perkara ini difikirkan sebelum membuat apa-apa keputusan,” soalnya.

Sehari dua ni viral video yang dikaitkan dengan Timbalan Menteri Pertanian berkahwin secara online dengan jurunikahnya berada di negara jiran.

Pihak berkuasa Majlis Agama Islam Narathiwat telah membuat kenyataan bahawa mereka tidak mengiktiraf perkahwinan online dan sedang menyiasat juru nikah terbabit.