Malaysia Dateline

Timbalan Menteri Wanita, Utusan Malaysia perlu disiasat

Wanita PKR Selangor menggesa pihak berkuasa menyiasat akhbar Utusan Malaysia dan Timbalan Menteri Wanita menurut seksyen 14 (1) dan (2) Akta Kesaksian Kanak-Kanak, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak dan mana-mana akta lain yang berkaitan.

Ini berikutan, laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5 Ogos lalu yang bertajuk “Beri Hana ruang bertenang” yang ditulis oleh wartawan Nuraina Hanis Abd Halim memaparkan elemen dalam bentuk gambar dan tulisan yang bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2001.

Rodziah bersama ketua-ketua Wanita Cabang Selangor membuat dua laporan polis terhadap Akhbar Utusan Malaysia dan Datuk Siti Zailah.

Ketuanya Rodziah Ismail berkata, laporan itu dengan jelas boleh memberi risiko dari sudut keselamatan, kesihatan mental dan emosi kepada kanak-kanak tersebut yang merupakan anak kepada mangsa kes pembunuhan yang dikatakan dibunuh oleh suaminya sendiri.

Semalam, Rodziah bersama ketua-ketua Wanita Cabang Selangor membuat dua laporan polis terhadap Akhbar Utusan Malaysia dan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di atas posting beliau dalam Instagram yang memaparkan gambar beliau melawat anak mangsa yang mati dipercayai dibunuh oleh suaminya.

“Pendedahan ke atas anak mangsa ini bersalahan dengan Akta Kanak-Kanak yang boleh membawa risiko keselamatan, kesihatan mental dan emosi kepada kanak-kanak tersebut, apatah lagi apabila kes ini masih lagi dalam siasatan polis,” katanya.

Terdahulu, Siti Zailah turut berkongsi gambar beliau menziarahi kanak-kanak tersebut yang merupakan anak kepada mangsa pembunuhan baru-baru ini telah tular di media sosial dan media arus perdana sehingga nama dan gambar kanak-kanak ini dilaporkan di muka surat pertama Utusan Malaysia bertarikh 5 Ogos 2020.