Timbalan Mursyidul Am Pas ajak pemimpin Umno, Bersatu duduk sepentas esok

Timbalan Mursyidul Am Pas ajak pemimpin Umno, Bersatu duduk sepentas esok

Menjelang Himpunan 355 yang akan berlangsung esok, Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan kehadiran ke Padang Merbok di ibu negara sebagai lambang menghargai mahkamah syariah.

“Kita bersedia menerima sesiapa sahaja tanpa mengira batas parti dan warna kulit. Silalah datang ke himpunan jika kita sayang dan hormat kepada mahkamah syariah,” katanya kepada media.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan dilapor Utusan Online semalam mengajak pemimpin Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) duduk sepentas dalam program bertemakan warna ungu itu.

Menurutnya, himpunan bagi pindaan pada Akta Mahkamah Syariah (Akta355) itu adalah untuk menyatakan sokongan kepada usaha memartabatkan mahkamah syariah yang mana semua pihak perlu menghormati kedudukannya.

Beliau turut meletakkan sasaran 300,000 peserta himpunan yang dijadualkan bermula jam 2 petang sehingga 11 malam.  

Semalam, kerajaan Kelantan pimpinan Pas mengumumkan keesokan selepas himpunan 355 sebagai cuti peristiwa bagi membolehkan rakyat negeri itu hadir beramai-ramai di Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilapor berkata, tanpa cuti tersebut rakyat di negerinya perlu bekerja jadi sekaligus menyukarkan mereka untuk ke ibu negara memandangkan 19 Februari iaitu Ahad adalah hari bekerja.

Walaupun Padang Merbok di Jalan Parlimen dikatakan hanya boleh menampung 45,000 orang pada satu-satu masa tetapi Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan menjangkakan lebih 200,000 peserta akan hadir.

COMMENTS

Wordpress (0)