Timbalan Pengerusi PKR Johor harap Hassan Karim tarik balik surat peletakan jawatan

Timbalan Pengerusi PKR Johor harap Hassan Karim  tarik balik surat peletakan jawatan
Hassan Karim

Jimmy Pua Wee Tse

Pengerusi PKR Johor Hassan Karim diharap menarik balik surat peletakan jawatannya memandangkan parti itu masih menyokong dan memerlukan kepimpinan beliau.

Menyatakan hasrat hati dan suara parti, Timbalan Pengerusi PKR negeri Jimmy Puah Wee Tse secara peribadi juga mahukan Hassan kekal sebagai tampuk pimpinan parti di negeri itu.

“Saya masih harap Pak Hassan boleh menarik balik surat letak jawatannya kerana kami di Johor masih sokong dan memerlukan pimpinan beliau.

“Kami tidak lupa kami (PKR Johor) berjaya menang tujuh (kerusi) parlimen dan lima Dun dan seterusnya membentuk kerajaan bersama komponen parti Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan beliau,” katanya kepada Bernama hari ini.

Puah berkata demikian sebagai mengulas pendirian tetap Hassan hari ini yang kekal dengan pendiriannya yang mahu meletakkan jawatan meskipun keputusan itu belumpun diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk mengganti tempat Hassan, Puah berkata ia adalah perkara yang “pra-matang” untuk diulas.

“Seperti saya kata, saya masih hormat kepada pimpinan Hassan dan siapa Pengerusi Johor adalah kuasa Presiden. Tak perlu komen lebih buat masa ini,” katanya.

Hassan dilaporkan turut menamakan Puah sebagai pengganti yang sesuai menggantikan dirinya.

Pada 20 Julai lepas, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Hassan atas alasan peribadi. BERNAMA