Malaysia Dateline

Timmy Tan raih emas kedua Boling Asia

Pemain boling negara, Timmy Tan meraih emas keduanya di Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-25 selepas memenangi acara ‘All-Event’ kejohanan itu di Kuwait,pada Isnin.

Pemain berusia 25 tahun yang mengekalkan kejuaraannya dalam acara perseorangan lelaki pada Rabu, meraih satu lagi pingat emas selepas mengumpulkan 5,805 jatuhan pin daripada empat acara iaitu perseorangan, beregu, trio dan juga lima berpasukan, menurut laman web Persekutuan Boling Asia (ABF); www.abf-online.org.

Pemain China Du Jianchao dan Kang Heewon dari Korea Selatan, masing-masing di tempat kedua (5,745 jatuhan pin) dan ketiga (5,724 jatuhan pin).

Pingat emas kedua Tan ini menyaksikan Malaysia secara keseluruhannya mengumpulkan tiga pingat emas dan dua pingat gangsa.

Satu lagi pingat emas dimenangi pemain berpengalaman Shalin Zulkifli, dalam acara perseorangan wanita, manakala dua pingat gangsa dihasilkan pasangan Esther Cheah dan Sin Li Jane dalam acara beregu wanita dan satu lagi melalui acara trio lelaki yang disertai Tan, Hafiz Zainuddin dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam.

— BERNAMA