Timor Leste akui kelebihan Malaysia

Timor Leste akui kelebihan Malaysia
Norio Tsukitate

Pasukan Timor Leste menyifatkan pertemuan dengan Malaysia pada aksi ‘play-off’ pertama kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam esok, adalah sukar memandangkan pemain tuan rumah berada di kelas tersendiri.

Bagaimanapun, ketua jurulatihnya, Norio Tsukitate, mengharapkan anak buahnya akan melakukan sesuatu dengan tumpuan diberi untuk pemain kembali semula ke posisi masing-masing selepas melakukan gerakan di hadapan gawang lawan.

Menurut jurulatih dari Jepun itu, beliau mengarahkan pemainnya mengurangkan aksi menggelecek bola di hadapan pintu gol lawan serta melakukan serangan pantas dan kembali semula ke posisi masing-masing dengan pantas untuk menyekat gerakan balas pasukan lawan.

“Keadaan amat sukar bagi kami apabila melakukan serangan, sukar untuk pemain kembali semula dengan pantas ke kedudukan masing-masing untuk menghalang kemaraan pemain lawan,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

Beliau berkata pasukan itu melakukan persediaan selama seminggu selepas saingan liga domestik di negara itu berhenti rehat.

Menurut jurulatih berusia 59 tahun itu, ramai pemain Malaysia merupakan pemain utama di peringkat ASEAN dan berharap barisan pemain mudanya akan mencapai status tersebut pada masa akan datang.

Katanya, pemerhatian terbaru beliau terhadap pasukan Malaysia adalah selepas melihat pasukan tuan rumah mengalahkan Nepal 2-0 pada aksi persahabatan di venua sama, Ahad lalu.

Mengenai strategi perlawanan esok, katanya, beliau belum memikirkannya dan akan menggunakan perlawanan esok untuk merangka strategi pada pertemuan kedua di venue sama, Selasa ini.

Timor Leste menghuni ranking ke-195 dunia manakala Malaysia berada di ranking ke-168.

Dalam empat pertemuan sebelum ini, rekod memihak kepada Malaysia dengan tiga kemenangan dan satu seri.

Ditanya mengenai keadaan padang dan hujan lebat ketika perlawanan, jurulatih itu sambil berseloroh berkata: “ Saya tidak ada idea jika berlaku hujan lebat…mungkin saya pesan kepada pemain supaya jangan lupa membawa sabun dan syampu.”

Dalam pada itu, pemain sayap Joao Pedro da Silva melahirkan rasa kecewanya dengan perlawanan timbal balik itu berlangsung di Malaysia selepas mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bola Sepak Timor Leste yang berdepan masalah kesesuaian padang untuk perlawanan antarabangsa, kemudahan dan logistik.

“Sudah tentu kami amat kecewa kerana terpaksa bermain perlawanan sebagai tuan rumah di negara lain. Pada pandangan saya, perlawanan kedua, sepatutnya berlangsung di negara kami. Jika bermain di negara kami, kami mempunyai peluang cerah untuk menang pada aksi kedua,” katanya.

Bagaimanapun, pemain yang beraksi untuk pasukan North Bangkok University di Liga Divisyen Tiga Thailand, berkata mereka akan melakukan yang terbaik esok.- BERNAMA