Malaysia Dateline

Timur Tengah amat hampir dengan jiwa Melayu

Gencatan senjata sudah dipersetujui antara Hamas dengan Israel. Kedua-dua belah pihak, Palestin dan Israel mendakwa mereka mencapai kemenangan  Di Tebing Barat khususnya di Baitulmakdis, Baitulaham dan Ramallah, pemuda Palestin membanjiri jalan raya menyambut kemenangan.

Ditularkan bahawa pada khutbah hari Jumaat di Masjid Al-Aqsa, khatib meminta para jemaah supaya tumpukan hal ibadat di masjid itu dan tidak bicarakan soal politik. Para jemaah bangun dan marah. Mereka menuntut supaya khatib itu turun dari mimbar.

Walaupun sudah ada gencatan senjata, berlaku juga pertempuran antara pasukan bersenjata Israel dan para jemaah Masjid Al-Aqsa di kawasan Haram As-Sharif.

Banyak perkara yang tidak diketahui tentang apa yang berlaku mengenai Palestin. Apa yang disebut di atas hanyalah cebisan-cebisan kisah yang diketahui dari laporan berita yang disiarkan melalui televisyen dan media sosial.

Banyak perkara penting berlaku di luar pengetahuan orang ramai. Rundingan dan persetujuan sulit yang dilakukan pasti tidak diumumkan pada dunia. Sementara agensi perisikan pelbagai pihak juga berperanan melaksanakan strategi masing-masing melibatkan kuasa besar iaitu Amerika Syarikat.

Soal Palestin amat sensitif dan ia menggamit emosi di kedua-dua pihak, baik yang menyokong Palestin, mahupun di pihak Israel. Lebih-lebih lagi ia berkaitan agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Ia juga berkait ideologi, kanan dan kiri.

Tetapi lebih menyentapkan ialah soal Palestin sudah menjadi sebahagian daripada jiwa sesuatu bangsa. bukan saja bagi bangsa Arab tetapi lebih-lebih lagi ialah pada orang Melayu.

Di pihak penyokong Israel, ia melibatkan bukan saja orang Yahudi tetapi dunia Barat pada keseluruhannya, yang jiwanya adalah pada Zionis. Namun begitu, ada juga golongan Barat yang menyokong Palestin. Antaranya bangsa Irish dan pemegang ideologi kiri, iaitu di kalangan sosialis, komunis dan anarkis.

Setiap kali ada berita atau hujah yang menyokong pendirian masing-masing tentu disambut dengan gembira kerana ia menyedapkan hati. Begitulah sebaliknya. Soal fakta, walaupun benar, jika menyakitkan hati, ia akan ditenggelamkan dan dipinggirkan. Ini kerana isu Palestin sudah sebati dalam jiwa seseorang.

Palestin yang walaupun kecil dan melibatkan sedikit orang berbanding dengan tempat lain sememangnya merupakan masalah utama dunia yang sukar untuk diselesaikan.

Ia bukan saja melibatkan kawasan asal Palestin, iaitu yang kini diduduki oleh Israel, tetapi melibatkan keseluruhan Timur Tengah, dengan mengheret soal geopolitik dan geoekonomi rantau itu. Ini menjadikan Timur Tengah sebagai rantau paling penting dunia.

Geopolitik bermakna politik rantau itu terbentuk kerana kedudukan geografinya. Begitu juga geoekonomi menunjukkan bahawa geografi membentuk peranan ekonominya. Sedangkan ekonomi dan politik berkait rapat.

Ketika British mula meneroka dunia untuk dikuasainya, ia menamakan satu bahagian dunia, dari Turki hingga ke Jepun sebagai Timur. Maka paling dekat ialah Turki, Lubnan, Syria, Iraq dan Palestin. Mereka disebut sebagai Timur Dekat iaitu Near East. Sementara dari Iran sampailah ke Asia Tenggara disebut Tengah atau Middle East. Ini menjadikan China, Jepun dan Korea sebagai Timur Jauh atau Far East.

Sebab itu, di Pulau Pinang, pada satu masa dulu ada sebuah persatuan berkaitan Yahudi yang mempunyai Timur Tengah dalam namanya. Tetapi kemudian, istilah ini berubah. Timur Tengah diubah untuk merujuk satu kawasan yang merentas dua benua iaitu Afrika dan Asia. Dari Libya hinggalah ke Afghanistan disebut sebagai Timur Tengah. Sementara dari Pakistan hinggalah ke Jepun adalah Timur Jauh.

Istilah-istilah Timur Dekat dan Timur Jauh kini kurang digunakan. Negara negara Timur Dekat sekarang sudah menjadi sebahagian daripada Timur Tengah. Sementara Timur Jauh sudah digantikan dengan istilah Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur.

Ada satu ketika terdapat usaha untuk membuang istilah Timur Tengah kerana ia Eurosentrik iaitu berpusat dari Eropah dan mempunyai legasi penjajah. Maka digantikan istilah Timur Tengah dengan Asia Barat. Tetapi ia tidak tepat kerana mengeluarkan Libya, Mesir dan Sudan yang merupakan sebahagian daripada Afrika Utara. sedangkan ketiga tiga negara itu berkait rapat dengan Asia Barat. Maka akhirnya digunakan juga istilah Timur Tengah.

Dalam sejarah kemanusiaan, Timur Tengah merupakan tempat di mana manusia pertama kalinya membina perkampungan dan bandar iaitu di Turki dengan dua tamadun berpusat di Iraq dan Mesir. Bagi agama, Palestin menempatkan kota warisan untuk Yahudi, Kristian dan Islam. Makkah, Madinah dan Baitulmakdis juga terletak di Timur Tengah.

Tetapi di luar warisan sejarah dan agama, kepentingan ekonomi dunia terletak di Teluk Parsi khususnya negara negara Teluk, Iraq dan Iran. Negara-negara Teluk tidak mahu memanggilnya sebagai Teluk Parsi. Mereka hanya memanggilnya Teluk kerana tidak mahu mengaitkannya dengan Iran.

Kepentingan ekonominya terletak pada minyak yang suatu hari akan habis. Minyak yang memberi tenaga bagi menggerakkan tamadun dunia. Ia juga yang merosakkan iklim bumi. Ini juga menyebabkan pemusatan kuasa di tangan syarikat-syarikat besar Barat dengan hilangnya keseimbangan kemakmuran dunia.

Kepentingan ekonomi dan politik selepas Perang Dunia Kedua, dengan berlakunya Holocaust dan penguasaan Eropah ke atas sebahagian besar Timur Tengah membawa kepada kemunculan Israel, maka rantau itu tidak akan pernah aman. Kecuali berlaku peperangan besar di mana salah satu pihak akan kalah teruk. Atau salah satu pihak mengalah dan menyerah. Tetapi kedua duanya itu tidak akan berlaku, sebab itu keadaan akan terus tidak tenteram.

Bagi Malaysia, perkara utama mengenai Timur Tengah ialah Makkah. Haji dan umrah merupakan ibadat penting bagi jiwa Melayu, kaum dominan Malaysia. Kota kedua terpenting adalah Madinah. Laluan untuknya mesti sentiasa dipelihara oleh sesiapa yang meneraju kerajaan di Putrajaya, tanpa mengira parti apa. Ini bermakna hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi sentiasa perlu dipelihara.

Kota ketiga yang penting bagi jiwa Melayu adalah Baitulmakdis. Walaupun orang Melayu tidak dapat menziarah Masjid Al-Aqsa kerana ia berada dalam pendudukan Israel tetapi jiwa Melayu tetap bersama dengan rakyat Palestin untuk membebaskannya. Siapa yang menjadi kerajaan di Malaysia mesti menyokong perjuangan Palestin.

Kerana Masjid Al-Aqsa, Malaysia semasa Tunku Abdul Rahman turut aktif menggerakkan Sekretariat Islam yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Persidangan Islam yang kini dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam atau OIC.

Kota keempat di Timur Tengah yang penting bagi jiwa Melayu ialah Kaherah. Ia merupakan pusat ilmu agama bagi orang Melayu. Kini, untuk menjadi ulama orang boleh belajar di Madinah dan Amman. Tetapi Kaherah sebagai kota ilmu agama tetap unggul.

Hubungan psikologikal orang Melayu dan Dunia Arab adalah besar. Tetapi hanya sebahagian daripada Dunia Arab berada di Timur Tengah. Negara-negara seperti Maghribi, Algeria dan Tunisia berada di luar Timur Tengah.

Sementara itu, ada dua negara bukan Arab di Timur Tengah  yang turut hampir dengan jiwa Melayu. Ia adalah Turki dan Iran. Istanbul di Turki pula menjadi kota kelima selepas Makkkah, Madinah, Baitulmakdis dan Kaherah yang hampir dengan jiwa Melayu.

Timur Tengah bukan saja penting bagi politik dan ekonomi dunia tetapi ia juga bermakna dalam jiwa Melayu yang patut difahami oleh pemimpin-pemimpin kerajaan Malaysia  yang bertanggungjawab ke atasnya. Jika mereka tidak cukup berperanan, maka mereka gagal melaksanakan amanah mandat Melayu.