Tindakan akan dikenakan terhadap sindiket penipuan atas talian jika ada bukti

Tindakan akan dikenakan terhadap sindiket penipuan atas talian jika ada bukti

“Kalau ada bukti mereka itu berpindah-randah, dan menyebabkan itu satu kesalahan, kita akan ambil tindakan.”

Demikian tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya mengenai saki-baki ‘scammer’ yang melarikan diri dalam satu serbuan di Cyberjaya dan berjaya diberkas di Ipoh.

Muhyiddin berkata, pihaknya memang memandang serius kegiatan penipuan itu sehingga perkara tersebut turut dibincangkan di peringkat negara-negara Asean.

“Macau scam yang melarikan diri ke Ipoh adalah sesuatu yang membimbangkan.

“Tangkapan seramai 680 warga China oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 20 November lalu menunjukkan seolah-olah terdapat kecenderungan warga China datang ke Malaysia.

“Dan menggunakan negara ini sebagai pangkalan untuk jenayah siber, penipuan dalam talian dan judi haram.

“Jadi perkara-perkara sebegini memang kita memandang serius,” katanya.

Muhyiddin mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai saki-baki sindiket penipuan yang digempur pada serbuan di Cyberjaya, dan kini diberkas di Ipoh.

Terdahulu, Muhyiddin menyempurnakan Majlis Pelancaran Bantuan Pasca Banjir oleh Angkatan Baru dan NGO, di pekarangan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan, JIM Perak berjaya menahan 40 warga China dipercayai saki-baki mereka yang melarikan diri semasa operasi di Cyberjaya bulan lepas.

Pengarah JIM Perak Kamalludin Ismail berkata, warga China berkenaan terdiri daripada 38 lelaki serta dua wanita berumur antara 18 hingga 54 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah banglo di Jalan Tun Dr Ismail.

Katanya, siasatan di premis berkenaan mendapati, banglo itu dijadikan lokasi bagi aktiviti dalam talian serta menjadi pusat sehenti warga China itu berdasarkan bekalan makanan yang ditemukan.

“Disyaki mereka telah berada di banglo berkenaan selama dua minggu dan menjalankan aktiviti dalam talian, bekalan makanan banyak dan tiada pergerakan keluar masuk selama empat hari risikan dijalankan,” katanya dalam satu sidang media.