Malaysia Dateline

Tindakan Annuar serah lesen kepada penjaja hasil kerja Khalid

PH melalui Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Khalid terbukti pelihara hak penjaja selepas lesen telah lama dibekukan oleh kerajaan BN.

Lesen perniagaan kepada penjaja kecil diusahakan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata aktivis AMANAH, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz.

Menurutnya, tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyerahkan sendiri lesen penjaja kepada Minah yang turut dikenali sebagai Che Nah di Bukit Damansara adalah hasil daripada kerja kerajaan PH sebelum ini.

Sehingga 30 April tahun lalu, seramai 250 penjaja tepi jalan menerima lesen penjaja terhad bermasa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika Khalid Abdul Samad menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Khalid dilapor berkata, lesen tersebut diperkenalkan bagi membolehkan DBKL membuat pemantauan, pemutihan lesen penjaja dan membuka peluang warga kota menjana pendapatan sampingan.

Mengulas lanjut, Sham Ghaz menyifatkan ramai menteri cuba untuk turun padang bagi menampakkan mereka buat kerja ekoran kedudukan kerajaan PN yang semakin tidak stabil.

Seorang lagi aktivis PH, Izmil Amri berpendapat tindakan Annuar menyerahkan sendiri lesen kepada penjaja tersebut ibarat orang lain buat assignment tetapi orang lain pula yang buat presentation.

“35 tahun beku lesen, tahun lepas sudah mula pulih, alih-alih hari ni sampai tersujud di kaki Umno. Yang beku 35 tahun tu bukan Umno?” bidasnya.