Malaysia Dateline

Tindakan bawa pulang abu mayat Chin Peng tidak perlu diagung-agungkan

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tindakan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) tidak perlu diagung-agungkan.

Beliau yang berdukacita atas apa yang berlaku merasakan tindakan tersebut sebagai tidak mengambil kira soal perasaan bekas anggota tentera yang berjuang selama ini melawan komunis.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sentimen anggota tentera, polis dan orang awam sepatutnya diberikan perhatian dan tindakan membawa pulang abu mayat itu tidak perlu diagung-agungkan.

“Kalau balik untuk mengagung-agungkan perjuangan komunis, saya fikir ini satu kesilapan paling besar yang dibuat.

“Kita seharusnya memberi perhatian terhadap sentimen anggota tentera yang berjuang dan rakyat yang menjadi mangsa komunis. Jangan hanya kita meraikan dua dan tiga kelompok, kita sepatutnya harus mengambil kira soal itu (sentimen anggota tentera dan orang awam).

“Bagi saya, soal dia dah meninggal dunia dan kebumi di mana itu tidak apa lah, tetapi apa motif abu mayat dibawa pulang Malaysia? Negara kita menentang sistem komunis dan ribuan perjuangan komunisma ini melibatkan kakitangan, anggota dan juga orang awam,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai isu abu mayat bekas pemimpin PKM itu yang meninggal dunia di Bangkok pada umur 89 tahun kerana penyakit barah.

Sususlan isu kontroversi itu, Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh negara dan mengambil contoh pembinaan tugu.

“Bayangkan nanti kalau dibina tugu dan diadakan majlis sambutan setiap tahun, apa akan jadi kepada negara kita?

“Jadi, kita tidak perlu undur. Perjuangan berpuluh-puluh tahun tentera kita melawan komunis haruslah dihormati.

“Kita letak tugu negara kita sebagai lambang perjuangan tentera kita melawan komunis. Jadi kalau nak meraikan semula (mendiang Chin Peng) dengan tujuan menghargai apa yang dia telah lakukan, saya merasakan ini tindakan paling silap,” ujarnya lagi.