Malaysia Dateline

Tindakan Bersatu bertanding sebagai calon Bebas kecewakan GPS

Tindakan Ali Biju yang bertanding atas tiket Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kali ini telah mengecewakan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS)

Menurut Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Ali yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak telah melanggar perjanjian yang dibuat bersama Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Sebelum ini katanya, Mahiaddin telah memberi jaminan bahawa Bersatu tidak akan terlibat dalam PRN Sarawak.

“Mahiaddin telah membuat kenyataan yang beliau akan mengambil tindakan tertentu kepada Ali dan kita tunggu nanti.

“Sudah tentu saya kecewa kerana terdapat perjanjian tertentu dan beliau (Mahiaddin) telah memberitahu tiada calon Bersatu dalam PRN12,” tegas Abang Johari.

Pada Hari Penamaan Calon Isnin lalu, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Saratok itu membuat kejutan selepas tampil untuk bertanding atas tiket Bebas di Krian.

Ali Biju berdepan dengan tiga calon lain, iaitu calon GPS, Friday Belik, calon PBK, Danny Kuan dan calon PSB Musa Dinggat.

Malah, beliau merupakan penyandang kerusi DUN Krian, dimana pada PRN 2016, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi.