Malaysia Dateline

Tindakan Daroyah keluar PKR dikecam, mengkhianati mandat rakyat

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ahli Dewan Negeri (Adun) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang mengumumkan keluar dari PKR semalam.

Dalam satu kenyataan, Menteri Besar Selangor itu berkata, tindakan tersebut jelas satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang telah memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir Negeri Selangor melalui Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lepas.

“Keutamaan Kerajaan Negeri Selangor pada masa ini adalah untuk menggembleng inisiatif membantu rakyat Selangor yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Susulan peletakan jawatan beliau, saya menggesa YB Dr Daroyah untuk segera meletak jawatan Ahli Dewan Negeri Sementa sekiranya masih bermaruah. Manakala peletakan jawatan beliau selaku Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor akan diuruskan oleh Pejabat Dewan Negeri Selangor melalui YB Speaker selanjutnya,” kata beliau semalam.

Katanya lagi, beliau yakin Adun PKR serta semua lapisan jentera PKR terutamanya Ketua-ketua Cabang PKR merasa mual dengan politik separa matang yang tidak berkesudahan.

“PKR dan PH Selangor beriltizam berkhidmat sedaya-upaya demi menghormati mandat rakyat,” katanya.

Semalam Adun Sementa yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Daroyah Alwi mengumumkan keluar dari PKR.

Daroyah yang merupakan Timbalan Ketua Wanita PKR yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang dipimpin Presiden PKR, Anwar Ibrahim.