Malaysia Dateline

Tindakan dua ahli parlimen mendukacitakan, kata Mohamad

Tindakan dua Ahli Parlimen daripada Umno yang mengumumkan keluar daripada parti itu amat mendukacitakan, kata Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata kedua-dua mereka Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman merupakan tokoh yang disegani, berkebolehan dan terbukti keupayaan dalam memimpin serta berkhidmat.

“Jasa dan sumbang mereka kepada UMNO dan negara adalah sesuatu yang tidak dapat kita nafikan dan kita amat berterima kasih.

“Namun begitu, kini mereka memilih haluan berbeza dan memutuskan untuk meninggalkan UMNO. Saya yakin ini adalah satu keputusan yang tidak mudah kepada semua. Kepimpinan Umno khususnya Majlis Kerja Tertinggi amat prihati dengan perkembangan ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mustapa yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelatan mengumumkan keluar parti pada Selasa manakala Anifah yang juga Ketua Umno Bahagian Kimanis berbuat demikian, semalam.

Mohamad turut mengakui sejak empat bulan lepas, proses membaikpulih dan menetapkan haluan yang jelas untuk parti berjalan dengan perlahan dan tidak radikal seperti yang diharapkan semua pihak.

“Perkara ini akan diberikan perhatian dan penekanan yang serius selepas ini demi memastikan UMNO tidak kelihatan sebagai parti tanpa haluan atau tersasar dari landasan perjuangannya. Saya percaya wujud keperluan mendesak untuk agenda pemulihan.

“Saya berharap agar semua anggota dan kepimpinan UMNO terus memberi sokongan penuh kepada parti,” katanya.