Malaysia Dateline

Tindakan halang Motley temui Anwar burukkan nama Malaysia di mata dunia

Pemuda Pakatan Harapan mengecam tindakan kerajaan Umno-BN menghalang Peguam Antarabangsa Anwar Ibrahim, Kimberley Motley, daripada bertemu dengan beliau sewaktu kunjungan beliau ke negara ini.

“Anwar mempunyai hak seperti mana-mana individu untuk dilawati oleh peguam beliau seiring dengan piawaian keadilan antarabangsa.

“Tindakan menghalang pertemuan tersebut membuktikan bahawa Anwar hanyalah tahanan politik yang tidak diberikan hak-hak yang sepatutnya di sisi undang-undang,” kata ketuanya Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan semalam.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Tambahan pula katanya, penahanan Anwar itu sendiri jelas dilakukan secara haram setelah melalui satu perbicaraan yang tidak adil dan tidak menghormati elemen-elemen asas perundangan.

“Kimberley merupakan seorang peguam antarabangsa yang disegani, oleh itu tindakan Kerajaan telah sekali lagi merosakkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Working Group on Arbitrary Detention) telah mengiktiraf Anwar merupakan mangsa penahanan arbitrari, atau tahanan politik dua tahun yang lalu,” tambahnya.

Menurut Nik Nazmi, perkara semudah membenarkan peguam antarabangsa Anwar menemui Anwar sepatutnya dihormati, jadi Pemuda PH menggesa agar pihak kerajaan bersetuju untuk bertemu dengan Motley agar perkara ini boleh diselesaikan secara adil.