Malaysia Dateline

Tindakan jadikan masjid agenda peribadi pemimpin politik dikesali

Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan kesal Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) gagal bertindak tegas menyekat sebarang agenda politik murahan dan peribadi digunakan di masjid dan rumah Allah, tambahan pula pada hari Jumaat yang mulia.

Pengerusi Zon Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, masjid perlu dihormati sebagai rumah Allah yang perlu dimuliakan, disanjung serta tempat penyatuan umat Islam, bukannya diremeh dan diperalatkan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru semalam bagi menafikan pembabitannya dengan pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaaribuu memperlihatkan sikap terdesak dan gopohnya beliau dalam menangkis isu tersebut.

“Kerana keghairahannya mahu mensucikan dirinya, beliau sanggup mengetepikan peraturan dan larangan dengan menjadikan rumah Allah untuk tujuan politik sempit dan kepentingan peribadi semata-mata. Bahkan, beliau seperti menganggap masih berkuasa dan menjadi pemimpin negara yang boleh mengarahkan mana-mana pihak untuk tunduk dengan kehendaknya.

“Tindakan beliau melafazkan sumpah laknat dilihat sangat terdesak dan terburu-buru dalam keadaan kes pendengaran permohonan pendengaran Azilah Hadri akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 1 April 2020. Demi mengelakkan dirinya dari didakwa serta prejudis rakyat ke atasnya, beliau sanggup memperalatkan kemuliaan institusi masjid untuk membersihkan diri dengan melakukan sumpah laknat yang tidak selari dengan Islam dan sistem perundangan negara. Sumpah laknat tidak terpakai dalam kes-kes jenayah, lebih-lebih lagi kes bunuh seperti ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, bagi umat Islam, tidak sukar untuk kita memahami bahawa dalam keadaan terdesak seseorang sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan diri daripada dihukum.

Terlebih lagi katanya, jika ia melibatkan nyawa, maruah dan kehormatan diri, bahkan, seakan menjadi budaya, masjid digunakan untuk membuktikan kesucian diri dengan bersumpah laknat seperti kes Saiful Bukhari sebelum ini yang juga bersumpah laknat di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan walaupun umum mengetahui terdapat banyak keraguan di sudut perundangan dalam kes tersebut.

“Dalam hal ini, kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan pihak Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru serta Jawi amat dikesali. Rakyat melihat Jawi dan Masjid boleh diperalat sewenang-wenangnya atas tujuan kepentingan peribadi dan politik sempit pihak tertentu,” tambah beliau.

Ujarnya lagi, Datuk Seri Najib sepatutnya membersihkan dirinya di Mahkamah melalui dakwaan itu kerana kesnya terlalu berat apatah lagi melibatkan jenayah pembunuhan berprofil tinggi dan salah guna kuasa beliau sebagai pemimpin negara sewaktu kejadian tersebut.

“Jika sumpah laknat di masjid boleh digunapakai untuk mengenepi atau menafikan sesuatu kes, sudah tentu ramai penjenayah dan pembunuh akan melakukan perkara yang sama demi mengelakkan dihukum.

“Jangan cemarkan institusi dan kesucian masjid serta meruntuhkan integriti sistem perundangam negara dengan perkara yang jelek seperti ini. Pihak Kerajaan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mesti mengambil tindakan yang tegas ke atas mereka yang terlibat dalam menganjurkan majlis sumpah laknat tersebut,” katanya.