Malaysia Dateline

Tindakan kejam AS tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman

Tindakan Amerika Syarikat (AS) membunuh Jeneral Qassem Soleimani melalui serangan udara pagi tadi, adalah jenayah yang tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

Susulan serangan tersebut, Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan AS adalah sebuah negara penyangak yang paling teruk.

Mohd Azmi berkata, ia adalah barbarisme oleh negara AS yang memberi sendiri ‘lesen’ kepada mereka untuk membunuh manusia.

“Amerika Syarikat telah lama melakukan pembunuhan dengan sewenang-wenangnya dan dunia tidak dapat berbuat apa-apa.

“Menyasarkan individu dan melancarkan pembunuhan dengan cara sedemikian adalah jenayah yang tidak boleh ditinggalkan tanpa dihukum.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang mereka lakukan dan tiada sebarang alasan yang boleh diterima ke atas tindakan kejam itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azmi atau dikenali sebagai Cikgu Azmi berkata, rantau itu kini sudah berada di penghujung perang terbuka sejak serangan AS ke atas pasukan PMF berhampiran sempadan Iraq dengan Syria.

“Dunia tidak boleh berdiam diri. Ini adalah situasi yang tidak menentu yang mungkin meletus menjadi konfrontasi ketenteraan.

“AS melabel Suleimani sebagai musuh, tetapi ia tidak mempunyai hak untuk melaksanakan penghakiman dengan sendirinya.

”Kini AS adalah negara pembunuh dalam segala segi. Lebih buruk lagi, ianya ditadbir tanpa kelulusan rasmi daripada kongres untuk mengisytiharkan perang kepada mana-mana negara,” ujarnya lagi.

AFP melaporkan Komander Kanan Iran, Qassem Soleimani dan timbalan ketua pasukan tentera Iraq, Hashed Al Shaabi adalah antara yang terbunuh dalam serangan di lapangan terbang Baghdad, awal pagi hari ini.

Serangan menjelang waktu Subuh itu juga meragut nyawa Timbalan ketua kumpulan berkenaan, Komander Abu Mahdi al-Muhandis.