Malaysia Dateline

Tindakan keluar dana KWAN bukti darurat memudaratkan negara

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional menggunakan Akta Darurat untuk mengeluarkan wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi membiayai pembelian dan pengurusan vaksin adalah bukti jelas bahawa Pengisytiharan Darurat akan memudaratkan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat Khalid Samad berkata inilah kali pertama dana KWAN, yang sepatutnya dikumpulkan untuk anak cucu tetapi digunakan oleh sebuah kerajaan.

“Perintah Darurat telah digunakan untuk membolehkan dana ini digunakan,” kata Khalid.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 yang telah memperuntukkan sebanyak RM3 bilion untuk pembiayaan pembelian dan penyelenggaraan vaksin, sudah mencukupi untuk kegunaan itu, melainkan dana itu tidak digunakan sebetulnya.

“Angka yang telah diumumkan sekarang telah meningkat dengan mendadak berbanding apa yang telah diumumkan ketika Belanjawan 2021 kerana salah guna melalui Pewartaan Ordinan Darurat yang telah dikuatkuasakan pada 14 April 2021.

“Apa yang berlaku ini amat membimbangkan. Tanpa sidang Parlimen, pihak manakah yang boleh mempersoalkan apakah perbelanjaan yang telah dibuat dari Belanjawan 2021 akan berjalan dengan telus.

Begitu juga katanya yang mempersoalkan apakah yang akan berlaku kepada dana yang akan diambil dari KWAN ini apabila sistem demokrasi berparlimen ditarik melalui Perintah Darurat ini.

Bahkan, solanya juga pihak manakah yang boleh memastikan Dana KWAN ini benar-benar digunakan untuk pembelian dan pengurusan vaksin.

Sehubungan dengan itu, pihak Jawatankuasa Tamat Darurat merafak sembah kepada DYMM Yang Dipertuan Agong agar menarik balik perintah Darurat sebelum banyak lagi kerosakan dibuat oleh kerajaan PN dan BN ini.