Malaysia Dateline

Tindakan kepada perniagaan, sektor perkilangan yang beroperasi tanpa kelulusan MITI

Mana-mana perniagaan atau sektor perkilangan hanya boleh memulakan operasi jika mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, sebelum pihak MITI memberikan sebarang kelulusan, mereka tidak dibenarkan untuk memulakan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Jika tidak, tindakan akan diambil kepada mereka kerana melanggar PKP.

“Kehadiran begitu banyak kenderaan di jalan raya ini seolah-olah rakyat telah lupa bahawa PKP masih lagi dilaksanakan dan mereka masih tertakluk kepada undang-undang di bawah PKP.

“Antara sebab-sebab banyaknya kenderaan semalam (kelmarin), salah satunya ialah kerana ada syarikat-syarikat atau pun kenderaan-kenderaan yang bukan terlibat dalam perkhidmatan keperluan asas telah mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan mereka,” katanya.

Ismail berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi beliau pada Khamis.

Walau bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, industri dan sektor yang berkaitan dengan makanan dan perubatan yang telah pun mendapat kebenaran untuk beroperasi sewaktu PKP 1 dan PKP 2, dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Pernah saya jelaskan sebelum ini yang berkaitan dengan makanan misalnya, keseluruhan rantaian yang berkaitan dengan bekalan makanan adalah dibenarkan.

“Sebagai contoh, nelayan dibenarkan ke laut untuk menangkap ikan. Pemborong dibenarkan membeli ikan daripada nelayan dan seterusnya membawa ikan ke pasar melalui kenderaan.

“Pengangkutan kenderaan ikan tersebut dibenarkan membawa bekalan tersebut ke pasar. Peniaga-peniaga penjual ikan juga dibenarkan berniaga di pasar,” katanya lagi.