Malaysia Dateline

Tindakan kerajaan ‘bunuh’ peniaga ayam Melayu kecil-kecilan

Tindakan kerajaan untuk membawa masuk ayam import kononya untuk menstabilkan harga sebenarnya bakal ‘membunuh’ peniaga Melayu yang berniaga secara kecil-kecilan.

Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd Mazlina Kamarudin MK menyifatkan lambakan ayam import itu nanti akan menjejaskan peniaga kecil yang kebanyakkan dalam kalangan orang Melayu.

Katanya, ayam import selalunya dijual di pasaraya dengan harga yang lebih murah sudah tentu peniaga kecil-kecilan ini akan turut menjual dengan harga murah bagi mengelakkan ayam tidak laku walaupun mereka mengeluarkan modal yang mahal.

“Ayam import ni selalunya akan dijual di pasaraya. Berdekatan kawasan dia jual ayam segar. Pasaraya jual murah. Maka dia pun terkial-kial kena ikut jual murah. Walaupun modal dia mahal. Akhirnya dia hanya dapat air liur.

“Beli ayam proses. Jual semula. Kategori ini orang Melayu ramai. Nak sara anak bini. Jual 30 ekor. Kalau dapat RM1/ekor. Dapatlah RM30. Kalau ayam tak habis. Hutang tauke,” tulis beliau di facebooknya.

Beliau menambah, mereka yang mendapat untung hasil lambakan ayam import adalah tauke-tauke besar yang mempunyai kilang dengan mengeluarkan bermacam-macam produk seperti nuget, burger dan bermacam-macam lagi.

“Peniaga ayam ini, ada  Grand Parent (atok ayam). Ada parent atau breeeder (mak ayam yang kalian makan tu). Ada kilang dedak. Ada broiler (ayam yang kalian makan tu). Ada kilang burger, nugget. Ada bisnes property. Ini Leong Hup, Huat Lai, CAB dan lain-lain,” katanya.

Katanya, peniaga ayam ini mempunyai banyak kategori ada yang mempunyai kilang, ada rangkaian pemasaran, outlet, ejen, stokis dan reseller.

“Ayam Bismi dalam kategori ini.

“Ada yang ada ladang ayam sahaja. Terpaksa berkuli dengan tauke besar. Dapat anak ayam teruk. Dapat dedak teruk. Maka teruklah. Ada yang kena serah ladang kepada tauke besar. Sebab bangkrap ciptaan. Sengaja di perangkap oleh tauke besar,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengarahkan bekalan ayam import dan ikan sejuk beku yang disimpan sebagai stok di bawah program Q’Fish dilambakkan dalam pasaran sebagai langkah segera menstabilkan harga.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengimport 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku seawal minggu depan.

Bekalan ayam import itu akan diputuskan oleh MAFI kerana terdapat banyak pilihan sama ada dari China atau Thailand.