Malaysia Dateline

Tindakan kerajaan mahu bunuh kontraktor bumiputera

Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan nasib kontraktor kecil bumiputera yang kian sempit dalam mendapat kerja bagi penyelenggaraan jalan-jalan MARRIS di bawah kerajaan negeri Johor.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut sebelum ini diuruskan oleh Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara tender, sebutharga dan undi namun kini telah dikonsesikan kepada sebuah syarikat Safwa Global Sdn Bhd.

Tindakan tersebut ujar Khairuddin digambarkan sebagai tindakan mahu menutup peluang kepada kontraktor kecil yang terpaksa bergantung kepada syarikat konsesi tersebut.

“Sebelum ini juga kerajaan Johor telah melantik syarikat-syarikat konsesi seperti Teto Sdn Bhd dan Amona Sdn Bhd untuk membuat kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri, Infra Desa (Johor) Sdn Bhd untuk kerja-kerja jalan kampung dan kerajaan pusat pula telah melantik Selia Selanggara Sdn Bhd untuk jalan-jalan persekutuan.

“Saya amat bersimpati dengan situasi yang dihadapi oleh kontraktor-kontraktor kecil tersebut apabila peluang berniaga yang sedia sempit sebelumnya kini mereka terus merasa terhimpit dengan adanya perlantikan syarikat konsesi baharu tersebut.

“Saya juga dimaklumkan syarikat-syarikat konsesi tersebut mendapat tawaran kontrak dengan kadar harga yang lebih tinggi daripada harga kebiasaan.

“Syarikat-syarikat tersebut juga akan mengurus perlantikan syarikat-syarikat kecil untuk melaksanakan kerja konsesi dengan tawaran harga yang lebih rendah walaupun diselia oleh ‘Johor Center For Construction Development (JCCD)’,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan wujudnya tindakan dari syarikat konsesi tersebut yang melantik syarikat besar yang mempunyai jentera dan mesin yang cukup aatau mempunyai keupayaan modal untuk menjalankan kerja dibawa kelolaan konsesi tersebut.

“Bukan setakat itu sahaja, syarikat-syarikat kecil dipilih kebanyakkannya juga terdiri daripada mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak pengurusan syarikat-syarikat konsesi.

“Lebih malang apabila syarikat yang mendapat kerja hanya menggunakan lesen syarikat bumiputera tersebut dengan menawar dalal atau komisyen dengan peraturan tertentu.

“Saya memohon agar pihak kerajaan mengkaji semula akan sistem perlantikan syarikat konsesi untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan MARRIS tersebut,” ujarnya lagi.