Tindakan kerajaan PH larang atlet Israel tepat dan berprinsip, kata Teras

Tindakan kerajaan PH larang atlet Israel tepat dan berprinsip, kata Teras

Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melarang atlet Israel untuk memasuki negara ini bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 Julai nanti adalah tepat dan berprinsip.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi, Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras), Abdullah Mohd Nor (gambar atas).

Menurut beliau lagi, tindakan melarang atlet Israel tersebut adalah bertepatan dengan polisi kerajaan yang melarang pemegang pasport Israel untuk memasuki negara ini.

“Pendirian kerajaan adalah amat tepat dan disokong oleh majoriti rakyat yang mahukan keamanan dan keharmonian.

“Seluruh dunia sedar dan tahu kezaliman dan kekejaman kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin sehingga mereka menderita yang teramat sangat.

“Kekejaman Israel tersebut tidak langsung berperikemanusiaan sehingga sanggup menembak dan membunuh tanpa rasa simpati terhadap kanak-kanak, wanita, orang tua dan seumpamanya,” tegas beliau lagi.

Sejajar dengan itu kata Abdullah, tindakan Perdana Menteri yang menegaskan tidak membenarkan atlet Israel untuk bertanding dalam kejohanan yang akan diadakan di Kuching mulai 29 Julai hingga 4 Ogos amat melegakan.

Oleh itu ujarnya, semua golongan masyarakat harus bersama-sama menyokong pendirian kerajaan tanpa ada apa jua alasan bagi membenarkan kehadiran atlet Israel tersebut.

Loading...

Malah pendirian tegas kerajaan akan memberi impak yang amat besar termasuklah penghormatan dari negara luar yang turut menentang kezaliman kerajaan Israel.