Malaysia Dateline

Tindakan kerajaan PN terhadap Rohingya: Mana Najib dan Pas, tanya AMANAH

Langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang bermotokan kerajaan Melayu Islam berdiam diri ketika ketika umat Islam Rohingya mengharapkan belas kasihan dikesali.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, umat Islam Rohingya sekarang lari dari kekejaman Junta Myanmar dan mengharapkan belas kasihan saudara seIslam mereka.

“Malangnya Melayu Islam PN hanya bercakap tetapi tidak menghayati Islam,” katanya.

Bagi beliau, Islam versi PN hanya retorik sahaja sebelum mendapatkan kuasa dengan mengutup DAP dan Pakatan Harapan.

“Bila diuji, iman hanya setakat kerongkong! Geng peralatkan agama!” dakwa ahli Parlimen Shah Alam itu melalui twitternya.

 

Najib dan Hadi duduk sepentas dalam Himpunan Solidariti untuk Rohingya pada 2016. Ke mana mereka berdua sekarang ketika Rohingya diserang dan difitnah.

 

Beliau juga mempertikaikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pernah duduk sepentas dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam majlis mempertahankan Rohingya pada 2016 lalu.

“Zaman Najib nak jadi hero… dulu lah. Dah lupa dah. Sekarang ini ‘malu apa’,” tanya Khalid kepada ahli parlimen Pekan itu.

Selain Najib, Pas yang menamakan mereka sebuah parti Islam juga ditegur oleh beliau.

Bagi beliau, parti itu gagal memegang prinsip Islam hatta yang paling basik sekali pun iaitu kemanusiaan.

“Pas mana? Takkan lupa kewajipan terhadap golongan lemah dan memerlukan pembelaan,” tanya beliau kepada Pas ekoran tekanan yang diterima oleh pelarian Muslim Rohingya sekarang.

Mereka bukan sahaja dihalau tetapi dihalakan dengan pelbagai serangan dan fitnah untuk menjustifikasikan tindakan kerajaan itu.

Jurucakap Rohingya, Zafar Ahmad Abdul Ghani telah diugut untuk dibunuh selepas tersebar berita palsu kononnya orang Rohingya mahukan hak kerakyatan ketika datang ke negara ini.

Presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organisation Malaysia (Mehrom) itu dipaksa mematikan akaun facebooknya ekoran ancaman itu.

Bernama pula melaporkan kapal yang membawa pelarian Rohingya dihalau dari memasuki perairan Malaysia.

Reuters pula melaporkan, tindakan menghalang kapal yang membawa umat Islam Rohingya dari berlabuh di negara ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya, 24 orang etnik Rohingya maut.

Katanya, kesemua mereka berada dalam sebuah kapal yang cuba memasuki perairan Malaysia namun dihalang mendarat, lapor pihak pengawal pantai Bangladesh pada Khamis.

396 penumpang yang lain telah diselamatkan setelah berada di laut selama kira-kira dua bulan.

“Mereka berada di laut selama dua bulan dan sangat lapar,” kata seorang pengawal pantai itu kepada Reuters dalam satu kiriman mesej.