Tindakan KM Sarawak beku permit pekerja Petronas Semenanjung disokong

Tindakan KM Sarawak beku permit pekerja Petronas Semenanjung disokong

Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) dan Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) Negeri Sarawak menyokong penuh tindakan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem membekukan permit kerja pekerja Petronas dari Semenanjung Malaysia.

Presiden PVTMS Thomas Ling berkata pihaknya menyokong tindakan itu sekiranya syarikat petroleum negara itu memberhentikan anak-anak Sarawak yang menjadi kakitangan syarikat itu dan menggantikan dengan petugas-petugas dari luar Sarawak.

“Sepatutnya Petronas memberi peluang dan keutamaan kepada anak-anak Sarawak bekerja di syarikat tersebut memandangkan gas petroleum diusahakan oleh Petronas adalah hasil sumber asli negeri ini.

“PVTMS dan PBTLDM menyatakan rasa kecewa dengan ketidakadilan tindakan Petronas memberhentikan pekerja-pekerja anak Sarawak ekoran penstrukturan semula syarikat tersebut,” katanya pada sidang media di Sibu, Selasa lalu, lapor Borneo Post.

Thomas juga memohon Petronas menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas-bekas tentera anak Sarawak yang bersara dalam lingkungan umur 32 hingga 50 tahun bagi menyandang jawatan di syarikat tersebut.

“Kami berbesar hati sekiranya kerajaan dapat memperjuang tuntutan royalti minyak yang merupakan hak Sarawak daripada lima peratus kepada 20 peratus, selain menawarkan harga minyak dan gas dapur Petronas dengan harga lebih murah iaitu 20 peratus harga minyak sekarang kepada rakyat Sarawak,” ujarnya.

Yang Dipertua PBTLDM Sarawak itu mencadangkan agar Universiti Teknologi Petronas (UTP) wajar ditubuhkan di Sarawak bagi membolehkan anak-anak Sarawak melanjutkan pelajaran di negeri sendiri.

Katanya penubuhan UTP dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa khususnya mereka yang kurang berkemampuan memberi kepakaran supaya lebih ramai anak Sarawak layak menyandang jawatan tinggi dan penting di Petronas pada masa akan datang.

COMMENTS

Wordpress (0)