Malaysia Dateline

Tindakan langgar perintah mahkamah tidak wajar, tidak berperikemanusiaan

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional mengusir lebih 1,000 warga Myanmar dan melanggar perintah mahkamah adalah tidak berperikemanusiaan dan keji, kata pejuang hak asasi manusia.

Mahi Ramakrishnan, pengasas Beyond Borders berkata pelarian dan pendatang tanpa izin tidak boleh dihantar pulang, lebih-lebih lagi apabila adanya pelanggaran hak asasi manusia yang sedang berlaku di negara asal mereka.

“Dalam hal ini, Malaysia tidak hanya melanggar perintah mahkamah tetapi juga menghina prinsip-prinsip non-refoulement.

“Apa yang dibuat imigresen hari ini adalah sesuatu yang keji,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh The Malaysian Insight berikutan tindakan Jabatan Imigresen Malaysia menghantar pulang 1,086 pelarian Myanmar pulang ke negara asal dengan menggunakan kapal tentera laut Myanmar ketika negara itu diperintah oleh junta tentera.

“Kami terkejut karena kerajaan terus melakukan pengusiran,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv dalam satu kenyataan malam tadi setelah Jabatan Imigresen mengesahkan telah menghantar pulang 1,086 warga Myanmar yang sebelum ini ditahan di pusat tahanan sejak tahun lalu.

Penghantaran pulang itu berlaku petang semalam dari pangkalan tentera laut Lumut, walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan agar ianya ditangguhkan sementara.

Maliamauv menambah, lapor The Malaysian Insight, pihak berkuasa sebelum ini mendakwa tidak ada pencari suaka dalam kumpulan itu adalah “palsu.”

“Masih ada tanda tanya sangat besar mengenai status mereka yang dihantar pulang hari ini.

“Pihak berkuasa mesti mengembalikan akses Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke pusat-pusat tahanan dan membiarkan mereka menjalankan tugas menyelamatkan nyawa kerana kita tidak boleh terus menafikan hak asasi manusia bagi mereka yang telah mencari pekerjaan atau mendapatkan perlindungan keselamatan di tanah kita,” katanya.

Kumpulan hak-hak migran juga bertindak balas dengan pengasas bersama Women for Refugees, Arissa Jemaima menerangkan Malaysia menghantar warga Myanmar pulang sebagai lebih bahaya, berikutan rampasan kuasa oleh tentera negara itu pada 1 Februari.

“Warganegara Myanmar yang melarikan diri dari junta pada dasarnya adalah pencari suaka kerana mereka melarikan diri dari keganasan yang dilakukan oleh kerajaan mereka sendiri,” katanya sebagaimana dilaporkan media itu.