Malaysia Dateline

Tindakan Lokman Adam terhadap mahasiswa UM dikecam Pemuda AMANAH

Tindakan kekerasan bagi menutup mulut pengkritik seharusnya dikecam dan tidak dijadikan norma dalam masyarakat, kata Pemuda AMANAH Nasional.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, Pemuda AMANAH Nasional memandang serius insiden kekecohan di program bersama bekas Perdana Menteri Mohd Najib Razak pada Jumaat yang membabitkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam.

Jelasnya kekecohan yang timbul akibat reaksi kepada tindakan beberapa mahasiswa yang mempersoalkan rekod serta legasi Najib Razak selaku bekas perdana menteri sebenarnya boleh dielakkan sekiranya semua pihak lebih matang dalam menghadapi kritikan.

“Prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan seharusnya diraikan oleh rakyat Malaysia dengan mengambil kira perbezaan pandangan yang sememangnya wujud.

“Kebebasan yang kini lebih terjamin bermaksud setiap pihak kini bebas menyuarakan pandangan kepada pihak lain termasuklah terhadap seorang bekas perdana menteri,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

(kiri) Lokman Adam cuba merampas plakad yan dipegang oleh salah seorang mahasiwa yang berdemo dalam satu kejadian pada Jumaat.-Foto MG.

Beliau mengulas tindakan,Lokman Noor Adam yang bertindak kasar terhadap tujuh pelajar di hadapan Restoran Amjal berhampiran Universiti Malaya (UM).

Lokman telah bertindak mengoyak poster yang dipegang pelajar tersebut kerana ia adalah gambar pemimpin Umno.

Mohd Sany yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer ini berkata,pendokong Najib seharusnya sedar bahawa mereka kini tidak lagi boleh sewenangnya menggunakan kekerasan dalam menyekat kritikan dan bangkangan pihak tertentu terhadap bekas perdana menteri itu.

“Suara lantang mahasiswa dalam membantah penyelewengan dan salahguna kuasa yang menjadi duri dalam daging pemerintahan Najib Razak seharusnya diterima dengan matang,”katanya.

Justeru Pemuda AMANAH Nasional ingin menyeru semua pihak untuk memanfaatkan kebebasan yang dijamin oleh kerajaan di bawah Pakatan Harapan dengan penuh kematangan.