Tindakan mahkamah Israel kekal perintah roboh kampung Badawi Palestin, biadap

Tindakan mahkamah Israel kekal perintah roboh kampung Badawi Palestin, biadap

Pertubuhan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyifatkan tindakan mahkamah tertinggi Israel mengekalkan perintah untuk merobohkan sebuah perkampungan Badawi Palestin di Tebing Barat sebagai sangat biadap kerana tanah yang didiami penduduk Palestin itu adalah tanah air mereka sendiri.

Pengurus Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya berasa terkilan dengan tindakan mahkamah tertinggi Israel itu kerana membenarkan pihak berkuasa Israel terus menerus ‘menyakiti’ penduduk Palestin secara mental mahupun fizikal.

“Serantau Muslim juga berasa kecewa dengan dakwaan puak Israel bahawa penduduk Palestin telah membina penempatan secara haram di kampung tersebut walhal mereka adalah penduduk asal disitu.

“Israel dilihat seolah-olah berada dalam keadaan yang ‘sengkek’ kerana masih terkejar-kejar untuk merampas tanah penduduk Palestin.

“Serantau Muslim melihat isu ini harus diberi perhatian dan dikecam secara global tanpa sebarang keraguan kerana ia merupakan isu sejagat dan hak asasi manusia,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, Serantau Muslim berasa begitu khuatir dengan nasib rakyat Palestin pada saat ini dan pada masa akan datang kerana kebajikan serta kehidupan mereka belum tentu terjamin rentetan agenda Yahudi yang ingin memperluaskan dan memisahkan Tebing Barat kepada dua bahagian.

Serantau Muslim tambahnya, berharap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dapat melakukan tindakan pantas untuk melindungi kepentingan dan kebajikan rakyat Palestin.

“Serantau Muslim menyeru penduduk dunia agar bersama-sama berganding bahu dalam membantu penduduk Palestin yang memerlukan pelbagai keperluan harian untuk meneruskan kehidupan sukar mereka.

“Serantau Muslim telah menyediakan ruang kepada orang ramai untuk membantu penduduk Palestin menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Serantau Muslim, Maybank 5641 0042 3099,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)