Malaysia Dateline

Tindakan melampau AS cetus jenayah perang bukan lagi ekstrimisme

Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang melakukan serangan udara terhadap Pembunuhan komander tertinggi Iran, Jeneral Qasem Soleimani pada 3 Januari lalu, tidak boleh diabaikan dan dilihat hanya sebagai satu tindakan ekstrimisme.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, ia merupakan satu tindakan pelanggaran undang-undang yang dianggap sebagai telah mencetuskan ‘jenayah perang’.

“Tindakan kuasa besar bersama ribuan tentera di Timur Tengah dengan melancarkan serangan menggunakan drone untuk melakukan pembunuhan dengan sewenang-wenangnya, adalah satu tindakan yang ekstrim.

“Namun, tindakan tersebut tidak boleh diabaikan dengan menganggap ia hanya perbuatan yang ekstremis semata-mata,sebaliknya tindakan itu telah mencapai tahap sebagai satu perbuatan jenayah perang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Seminar kedua, Muslim Ekstrimis Memecahbelahkan Ummah: Masalah & Prospek, di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia hari ini.

Turut hadir,   Ketua Pegawai Eksekutif  IAIS Malaysia Prof Dr Mohammad Hashim Kamali.

Antara barisan penceramah jemputan adalah Pengarah Shura Malaysia, Datuk Abdul Ghani Samsudin ; Presiden  Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid; Pesyarah  Universiti  Al Mustaf, Iran Dr Mohamad Hasan Zaman; Penyelidik dari Unit Penyelidikan Analitikal Extremisme (EARU), ISTAC-UIAM, Assoc.Prof Dr Danial Mohd Yusof; Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari  Fakulti Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM)  dan;  Pengarah Pertubuhan Palestin-Malaysia Dr Muslim Imran.

Raja Kamarul Bahrin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu berkata, kenyataan yang dibuat bahawa AS tidak memulakan peperangan, sebaliknya hanya untuk pertahankan diri adalah alasan yang sama sekali tidak boleh diterima.

“Penciptaan alasan untuk melancarkan serangan sedemikian tidak boleh diterima semata-mata untuk mempertahankan diri.

“Ia adalah arahan keganasan dan ektrimisme tajaan peringkat tertinggi negara,” ujar bekas Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH ini..

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (tengah) bergambar bersama penceramah yang akan membentangkan kertas kerja mereka pada seminar yang diadakan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Raja Kamarul yang juga Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu  berkata, ekstrimisme telah menjadi wacana yang menguasai perdebatan di forum-forum antarabangsa di mana hampir kebanyakan kes jenayah berlaku, sentiasa dikaitkan dengan agama.

Jelasnya, walaupun ekstremisme tidak seharusnya dikaitkan dengan hanya satu agama, namun ia adalah trend perdebatan yang menjadikan umat Islam disasarkan sebagai subjek ekstremisme.

Justeru beliau mengingatkan agar perdebatan ekstrimis perlu diperbincangkan dan dirunding melalui perspektif yang betul.

“Ekstrimis sememangnya memberi kesan yang serius terhadap imej ummah. Bukan sahaja Islam dianggap sebagai agama yang agresif, ia juga telah diputarbelitkan sebagai agama yang ganas.

“Perlu diingat, ketika tindakan individu yang melampau ditegah dari dikaitkan dengan agama, namun masih ada persepsi yang mengaitkannya dengan Islam. Ini bukan kebetulan. Ia sebenarnya adalah naratif yang sengaja meletakkan Islam sebagai imej yang buruk.

“Apa yang mesti dilakukan oleh ummah hari ini adalah untuk kembali ke makna sebenar Islam dengan tidak membiarkan diri terdedah kepada versi agama yang menyimpang,” ujarnya.