Malaysia Dateline

Tindakan Muhyiddin jadi penyebab Bersatu bakal lenyap

Bersatu bakal lenyap disebabkan tindakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari lalu membawa keluar parti itu dari Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, penubuhan parti berlogokan bunga raya itu awalnya menolak parti Melayu yang kleptokrat.

Sebaliknya, keputusan Bersatu keluar dari PH dan mewujudkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ibarat sudah bersama pihak yang telah melakukan jenayah kewangan.

“PPBM (Bersatu) akan hilang atas sebab tindakan Muhyiddin. Justifikasi wujudnya PPBM ialah inginkan parti Melayu yang menolak kleptokrat.

“Sekarang berpeluk dengan kleptokrat!,” bidas Ahli Parlimen Shah Alam itu dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

Khalid juga menegaskan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh dan Pengerusi Bersatu kerana langkah pengkhianat Azmin Ali dan Muhyiddin.

“Yang lain sudah terima Tun kekal PM. Itu yang Tun sebut tiada sebab keluar PH. Rumah menjadi kosong kerana PPBM lari keluar PH tanpa Tun,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.