Malaysia Dateline

Tindakan Nurul Izzah lepas jawatan kanan parti harus diteladani, kata Rafizi

Tindakan Nurul Izzah Anwar melepaskan dua jawatan kanan dalam parti harus diteladani.

Bekas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dua jawatan kanan dalam parti membuktikan idealisme perjuangan lebih penting dari jawatan, pangkat atau kuasa.

“Jawatan kanan di dalam parti hanyalah satu jalan untuk menyumbang. maka keputusan beliau (Nurul Izzah) walaupun mengejutkan, adalah sesuatu yang wajar kita teladani mesejnya.

“Saya berharap anggota Keadilan menerima keputusan Saudari Izzah itu dengan memberi sepenuh galakan dan sokongan. Ia juga menjadi bukti bahawa idealisme reformasi tetap segar di dalam Keadilan,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai keputusan Nurul Izzah melepaskan jawatan Naib Presiden dan Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang serentak semalam.

Menurut Rafizi lagi, dengan keputusan dibuat Nurul Izzah itu, beliau memandang positif sebagai satu tindakan berprinsip untuk membolehkan Nurul Izzah kekal bersuara secara objektif membawa isu-isu rakyat yang selari dengan idealisme reformasi.

“Saya merasakan beliau boleh mempertahankan idealisme reformasi dengan kedudukan kanan beliau di dalam kepimpinan KEADILAN.

“Saya juga menghormati keputusan beliau. Kami sudah melalui masa muda membina KEADILAN, sejak kali pertama kami sepentas dari tahun 1999 lagi (di London), maka saya juga faham pandangan beliau. Oleh itu, saya akan menyokong segala keputusan yang dibuat oleh Saudari Izzah kerana saya percaya itu datang dari hasrat beliau untuk memainkan peranan dengan lebih berkesan.

“Beliau bukan mengundurkan diri dari politik. Beliau kekal memainkan peranan penting di Parlimen dan persada politik tanahair. Beliau hanya mengundurkan diri dari jawatan kanan parti,” ujarnya.