Malaysia Dateline

Tindakan pantas LUAS berjaya elak henti tugas Sungai Semenyih

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya menangani insiden pencemaran sumber air susulan Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan dilaporkan tercemar petang semalam.

Exco Pelancongan & Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, siasatan awal oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati terdapat aliran air berwarna putih telah masuk ke Tasik Ujana Nilai Impian sebelum masuk ke Sg Batang Benar berikutan kilang cat terbakar di Nilai petang semalam

Beliau berkata, LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

“Siasatan LUAS mendapati jarak insiden tersebut ke muka sauk Jenderam Hilir, Sungai Semenyih anggaran dalam 13.7km dan dalam tempoh sembilan jam untuk sampai ke muka sauk tersebut.

“Ujian pensampelan bau telah dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di Sungai Pajam, Sungai Beranang dan Sungai Semenyih yang mencatatkan kadar bau sifar ton,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan juga telah dimaklumkan untuk bersama-sama menjalankan siasatan di kawasan itu.

LUAS juga meneruskan pemantauan ke lokasi Sungai Pajam dan mendapati keadaan air sungai itu adalah normal dan jernih selain mencatatkan bau sifar ton malam tadi.

Berdasarkan pemantauan statik LUAS sehingga jam 8 pagi hari ini di Jambatan Sungai Pajam, ujian pensampelan bau mencatatkan bacaan sifar ton dan aliran air sungai dalam keadaan normal.

“Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan pihak LUAS telah meletakkan 10 beg Activated Carbon (Serbuk Karbon Teraktif) di Sungai Batang Benar untuk mencegah sebarang pencemaran bau dalam air mentah.

“Tindakan pantas kawalan di tapak telah berjaya mengelakkan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan tiada berlaku gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air Negeri Selangor terpelihara,” katanya.