Malaysia Dateline

Tindakan pecat jika ada pihak sabotaj parti, kata Anwar

Mana-mana pimpinan atau ahli  Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cuba merosakkan semangat perpaduan atau sabotaj Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nasional  akan berdepan tindakan tegas termasuk pemecatan.

Itu peringatan tegas daripada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahimi yang menyifatkan sebarang tindakan atau usaha merosakkan perpaduan utuh anggota dan pemimpin dalam parti dan juga Kongres satu kesalahan besar yang tidak akan dikompromi beliau.

 Memetik laporan Malaysiagazette hari ini,  Anwar menyatakan rasa syukur kerana segala persepsi berhubung kongres yang dimainkan telah selesai.

“Saya dapat memimpin satu parti utuh dan ini disaksikan dengan pendaftaran perwakilan ke kongres telah mencecah lebih 80 peratus, seolah-olah sudah kemuncak sebelum bermula apabila semua cabang hadir memberi komitmen penuh.

“Saya juga beri peringatan jika ada percubaan untuk merosakkan semangat perpaduan oleh mana mana pimpinan, tindakan tegas akan diambil termasuk pemecatan ahli, malah tindakan sabotaj kongres ini satu kesalahan yang besar,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen tengahari tadi.

Tambahnya, beliau bersetuju mengadakan pertemuan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan-rakannya  dalam mesyuarat Biro Politik Khas PKR di Parlimen atas semangat perpaduan parti dan rasa bertanggungjawab untuk menjayakan Kongres di Melaka sehingga Ahad ini.

Menurut beliau, walaupun Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak hadir semalam, soal perasmian kongres dibincangkan secara mendalam dengan beberapa penyesuaian dibuat dengan Azmin akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita manakala akan ditutup oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Manakala program lain berjalan seperti yang dijadualkan tanpa perubahan, ujarnya.

Ditanya mengenai kongres kedua yang diperkotak-katikkan sejak Isnin lalu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, setakat ini tidak ada apa-apa bayangan ke arah itu sambil menyatakan bahawa sejak tiga hari lalu, 83 peratus perwakilan menyatakan komitmen hadir ke Melaka.

Parallel? setakat ini tidak ada ada apa-apa. Ada percubaan kecil tapi saya nak jelaskan sejak tiga hari lalu 83 peratus perwakilan janji akan hadir Melaka, kalau ada sekali pun (kongres kedua), hanya sikit 10 peratus.

“Saya harap tidak ada, kalau wujud dan diteruskan, mana- mana pemimpin yang hadir akan dipecat,” tegasnya.