Malaysia Dateline

Tindakan pengganas sasar fasiliti minyak ditolak undang-undang Islam, kata Imam Besar Masjidil Haram

Presiden Agung Hal Ehwal Dua Kota Suci, Sheikh Dr Abdul Rahman bin Abdul Aziz Al-Sudais, mengutuk pencerobohan berniat jahat di dua stesen pam minyak Aramco dalam wilayah-wilayah Dawadmi dan Afif di Riyadh, lapor Riyadh Daily.

Imam Besar Masjidil Haram di Makkah itu menganggap pencerobohan terang-terangan, sasaran dan tindakan pengganas itu sebagai satu percubaan yang gagal untuk menjejaskan keselamatan serta rahmat yang dinikmati oleh Arab Saudi.

Ia adalah satu usaha yang sia-sia untuk melemahkan keupayaan negara yang dilakukan oleh kumpulan yang terjerumus dalam kancah rasuah dan kesesatan, katanya.

“Masa serangan itu dilakukan pada bulan suci Ramadan, bulan yang baik dan diberkati, bulan untuk berpuasa dan menunaikan solat pada malam hari, bulan al-Quran yang mulia dan bulan yang menyaksikan kita berserah sepenuhnya kepada Allah, merupakan satu petunjuk jelas bagi pendekatan yang sesat dan mengelirukan kumpulan terbabit yang tidak mengambil kira masa, hak serta kepentingan selain mencabul kesucian Islam.

“Mereka mengabaikan perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang menjenayahkan tindakan sedemikian,” kata beliau.

Lapran media antarabangsa menyebut pada Selasa, dua stesen pam minyak di Saudi Aramco – yang terletak di sepanjang saluran paip minyak timur-barat kerajaan itu – menjadi sasaran serangan dron. Ia menyebabkan Arab Saudi berhenti mengepam minyak mentah di sepanjang saluran paip itu, yang mempunyai kapasiti 5mbpd.

Mengulas perkembangan sama, Sheikh Dr Abdul Rahman memuji kewaspadaan kakitangan keselamatan kerana sikap dedikasi mereka dalam melindungi tanah air dan rakyat serta berdepan dengan semua pihak yang cuba mendatangkan bahaya kepada keselamatan negara.

Beliau menegaskan bahawa kesemua tindakan sabotaj ini hanya akan meningkatkan kekuatan, perpaduan, solidariti dan kerjasama rakyat Arab Saudi dengan pemimpin mereka.

“Tambahan pula, tingkah laku yang keji ini tidak akan melunturkan semangat tentera kami sebaliknya meningkatkan keazaman mereka untuk mempertahan agama daripada pihak yang berani menyerang tanah air kami dan rakyatnya,” katanya.

Sheikh Dr Abdul Rahman juga berdoa kepada Yang Maha Esa agar melindungi Arab Saudi, tanah-tanah Dua Masjid Suci, daripada kejahatan dan memperkukuh keselamatan, keamanan dan kestabilannya dengan memberikan kemakmuran kepadanya.

“Semoga Allah SWT melindungi kepimpinannya dan memberikan kejayaan kepada Penjaga Dua Kota Suci Raja Salman bin Abdulaziz, dan Putera Mahkota Mohammad Bin Salman yang berkhidmat untuk Islam, umatnya dan tanah suci serta membantu tentera kami serta kakitangan keselamatan dengan kemenangan.”

— BERNAMA