Malaysia Dateline

Tindakan polis tak teruskan kes terhadap ibu yang mencuri, dipuji

Pertubuhan Ikram Legal memuji tindakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal yang tidak meneruskan kes terhadap seorang ibu selepas disyaki mencuri di sebuah pasaraya baru-baru ini.

Pengerusinya, Marwan Abdullah berkata, tindakan tersebut selari dengan konsep undang-undang yang adil di mana adalah wajar untuk seseorang itu dikecualikan daripada hukuman sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kesalahan dibuat kerana desakan hidup akibat kelaparan atau kebuluran.

Hal ini juga katanya, pernah berlaku dalam sejarah Islam yang ketika itu Khalifah Islam kedua, Sayidina Umar al-Khattab RA, pernah bertindak menangguhkan pelaksanaan hukuman hudud disebabkan oleh musim kebuluran pada masa tersebut.

“Ikram Legal menegaskan bahawa tindakan pihak polis tersebut tidaklah memberi maksud bahawa seseorang itu adalah bebas untuk mencuri sekiranya lapar.

“Kesalahan tetap kesalahan. Pihak polis perlu mengambil tindakan demi menjaga keamanan dan keselamatan negera.

“Namun, sekiranya pihak polis mendapati bahawa kesalahan yang dibuat disebabkan keperluan kehidupan yang mendesak, maka adalah amat wajar untuk menggunakan budi bicaranya untuk tidak meneruskan kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang ibu kepada tiga anak yang mencuri ubat dan makanan untuk anak-anaknya, menerima kejutan apabila polis melawat dan menyampaikan sumbangan di kediamannya di Petaling Jaya.

Wanita itu dikatakan gagal membayar barangan iaitu Kool Fever patch, sosej dan kek, yang keseluruhannya bernilai RM58 untuk anaknya-anaknya yang seorang daripadanya mengalami demam ketika ditahan pengawal keselamatan sebuah pasar raya, di Petaling Jaya pada Rabu.

ACP Nik Ezanee berkata, sumbangan yang diserahkan adalah barangan yang gagal dibeli wanita itu untuk anak-anaknya semalam, dan makanan serta keperluan harian lain yang disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Sementara itu Marwan berkata, semua pihak tanpa mengira pangkat, agama dan bangsa perlu mengambil contoh daripada insiden itu, sekali gus bersama ke arah membina Malaysia sebagai sebuah negara yang rahmah.