Malaysia Dateline

Tindakan Presiden Perancis melampau, bakar kemarahan umat Islam

Tindakan Presiden Perancis Emmanuael Macron menganugerahkan Legion d’Honneur kepada seorang guru mata pelajaran Sejarah, Samuel Paty bersikap keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.

Menurut Ahli Dewan Undangan Selangor Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar sebagai umat Islam berasa kesal dengan sikap Macron yang digambarkan sebagai orang yang sangat prejudis, anti-Islam, menindas dan berat sebelah.

“Umat ​​Islam menganggap tindakan Macron memberikan penghargaan itu sebagai pengiktirafan melampau dan mendorong kegiatan ganas dalam masyarakat.

“Ini juga merupakan usaha untuk membakar sentimen kemarahan umat Islam dan menanamkan kebencian terhadap umat Islam. Ini tidak bermaksud bahawa kita setuju dengan sikap keganasan dan pembunuhan terhadap orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebagai pemimpin negara, Macron harus menjadi negarawan yang membawa watak pendamai, menenangkan, menjaga ketenteraman, keharmonian dan perpaduan di negaranya sendiri.

“Perancis mempunyai rakyat berbilang kaum dan pelbagai agama. Oleh itu, tidak wajar baginya memilih untuk berpihak pada sikap pelampau dan pengadu domba yang menimbulkan rasa tidak senang dan kemarahan umat Islam.

“Harus diingat bahawa menghina Nabi Muhammad SAW bermaksud menghina Islam dan umat Islam secara keseluruhan. Nabi Muhammad SAW tidak boleh dipandang rendah, digambarkan melalui lukisan, karikatur, potret, dilakonkan oleh watak-watak dan tindakan lain.

“Kami mengingatkan bahawa umat Islam sangat bertoleransi, beradab, menghormati agama lain, tidak akan menghina dan memperkecilkan agama dan kepercayaan penganut agama lain di mana-mana negara,” katanya.

Justeru, umat Islam menuntut agar dia menarik balik penghargaan Legion d’Honneur kepada guru dan membiarkan pengadilan memutuskan keputusannya mengenai kes pembunuhan itu.

“Jika tidak, Macron sengaja memilih untuk berperang, untuk menghadapi konfrontasi, memboikot produk Perancis
dan ekonomi serta menjauhkan hubungan antara Perancis dan umat Islam di seluruh dunia,”katanya.

Pada 16 Oktober lalu, dunia dikejutkan dengan tragedi berdarah di pinggir kota Paris, Perancis apabila Samuel Paty, seorang guru subjek Sejarah di sebuah sekolah di Perancis telah dibunuh dengan dipenggal kepalanya.

Pembunuhan itu dilakukan oleh seorang pelajar Muslim sebagai tindak balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap baginda kepada pelajar.

Emmanuel Macron mempertahankan tindakan guru tersebut dan memberikan anugerah khas pada satu majlis yang diadakan 21 Oktober lau di Universiti Sorbonne dengan menganggap penghinaan guru tersebut sebagai aksi seorang ‘hero’ kerana mempertahankan dasar kebebasan dan beliau juga berjanji untuk memerangi golongan ‘radikal Islam’ habis-habisan.