Malaysia Dateline

Tindakan provokatif China timbul tanda tanya?

Selain isu lonjakan kes harian Covid-19 dan penerimaan vaksin dalam kalangan rakyat, Malaysia tidak lepas daripada isu antarabangsa. Ini berlaku berikutan pendedahan yang dibuat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bahawa pihaknya telah mengesan penerbangan mencurigakan iaitu sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei lepas yang mengundang tanda tanya.

Ini berlaku tidak lama lepas pesawat Boeing milik Israel yang dikesan merentas ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di pangkalan tentera udara negara jiran. Pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara baru-baru ini disahkan mendapat kelulusan penerbangan Malaysia.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berkata, pesawat awam berkenaan disahkan melalui ruang udara negara mengikut peraturan-peraturan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.

Tindakan China yang agak provokatif semacam memberikan amaran kepada Malaysia dalam usahanya cuba untuk mengimbangi pengaruhnya di Asia Tenggara. China sedang memerhatikan adakah dasar luar bersifat berkecuali atau cenderung kepada AS. Dalam hubunga ini China mempunyai banyak kepentingan di Asia Tenggara bahkan di negara kita.

Jika Malaysia gagal menggunakan pendekatan diplomasi antarabangsa, kerajaan bakal terjebak dalam konflik antarabangsa yang boleh mencetuskan persengketaan di Laut China Selatan.

Oleh itu hubungan Malaysia dengan China harus bersifat positif ketika ini bagi mengimbangi peranan yang cuba dimainkan Israel/AS di rantau Asia Tenggara dengan Singapura sebagai pusat pemantauannya.

Apa yang dilakukan China itu ialah sebagai amaran awal bahawa Malaysia harus berhati-hati dalam tindakannya di rantau Asia Tenggara.

Kenyataan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid bahawa kami melihat insiden ini lebih serius apabila pesawat perisik Israel dibenarkan beredar di ruang udara Malaysia minggu lalu. Kini pesawat tentera udara China pula menceroboh ruang udara negara.

“Apakah sebenarnya niat dua negara ini terhadap Malaysia? Ini perlu disiasat,” katanya menerusi kenayataan hari ini.

Mohd Azmi menegaskan, kerajaan perlu segera menyampaikan bantahan tersebut kepada China dan tidak berkompromi dengan operasi tentera negara itu yang boleh dilihat sebagai provokasi.

Ujarnya, Malaysia tidak boleh menjadi negara yang hanya tunduk kepada percaturan kuasa besar dan rantau ini juga tidak boleh menjadi medan konflik buat mereka.

Sama ada melalui diplomasi sang kancil atau menggunakan hikmah Tun Perak (dalam hubungan dengan China, Siam dan Majapahit), Malaysia perlu bertindak bagaikan seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak agar tidak terperangkap dalam impian China menguasai Laut China Selatan dalam berhadapan dengan pesaing AS di rantau ini.

Dilema terbesar Malaysia sekarang adalah China adalah antara penerima terbesar pelaburan luar tetapi pada yang masa struktur politik negara adalahy mesra Barat.

Dalam hubungan ini pihak China pula melihat geografi Malaysia sebagai strategi ‘jalur dan laluan’ mereka dan telah mengeluarkan dana yang besar untuk membina infrastruktur di Malaysia. Selain itu kelebihan China ialah menikmati hubungan budaya dengan Malaysia yang akan mempermudahkan urusan perdagangan serta pelaburan.

Namun bagi AS pula, mereka melihat kita sebagai negara strategik yang boleh mengawal pengaruh China dalam memperluaskan kekuasaan mereka ke seluruh Asia Tenggara. AS serius ingin terus menguasai laluan Selat Melaka mahukan lalu lintas bebas di Laut China Selatan.

Laporan Strategi Indo-Pasifik yang telah dilancarkan oleh AS pada Jun 2019 lalu menyatakan bahawa Laut China Selatan dan Lautan Hindi merupakan perairan strategik maritim di rantau ini.

Dalam laporan tersebut, AS telah membidas China yang disifatkan mengamalkan pendekatan “pemangsa ekonomi” atau “predatory economy”, iaitu menggunakan ekonomi sebagai salah satu instrumen demi mencapai objektifnya. Walaupun tidak dinyatakan dalam laporan tersebut, ia merujuk kepada Inisiatif Jalur dan Jalan (Belt and Road Initiative – BRI). Contoh klasik adalah apabila Sri Lanka terpaksa memberikan pelabuhannya kepada syarikat yang dikawal oleh Kerajaan China kerana kegagalan negara tersebut dalam membayar hutang.

Keadaan politik negara yang agak rapuh amat membimbangkan kerana pemimpin kita akan kehilangan tumpuan dalam usaha melanggengkan kuasa. Isu C-19 dan vaksin merupakan fokus utama negara tetapi pada yang sama. Malaysia perlu mempunyai pendirian yang jelas dan pendekatan yang seimbang dalam berhadapan pergeseran dua kuasa besar di rantau ini.

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)