Malaysia Dateline

Tindakan radikalisme bertentangan dengan nilai universal agama dan hak asasi manusia, kata Nik Omar

Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) berpandangan segala jenis tindakan radikalisme sangat bertentangan dengan nilai-nilai universal dan sangat bertentangan dengan konsep hak asasi manusia yang diakui oleh semua negara di dunia.

Yang Dipertua Yadim Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, setiap orang mempunyai hak untuk mengamalkan dan mempraktikkan kepercayaan beragama masing-masing dan tindakan untuk menceroboh privasi itu menggambarkan betapa terkaitnya sikap dan perilaku sesetengah pihak dengan provokasi Islamophobia.

“Tragedi yang menimpa umat Islam di dua buah masjid dan mengakibatkan kematian 50 orang umat Islam di New Zealand adalah suatu tindakan ganas yang boleh dianggap sebagai jenayah kemanusiaan yang bukan sahaja wajib dikecam oleh masyarakat antarabangsa.

“Atas asas prinsip kebebasan dan hak asasi manusia, tembakan rambang ke atas umat Islam yang bersiap sedia untuk mengerjakan sembahyang Jumaat itu adalah suatu tindakan yang lahir dari sikap terburuk terhadap kebebasan agama yang dijamin oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan juga kerajaan New Zealand,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Yadim juga menyokong penuh usul tergempar Parlimen Malaysia yang mengutuk serangan berdarah mengorbankan50 nyawa umat Islam di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.

Katanya lagi, Islam sentiasa mengajar umatnya membentuk peribadi mulia, dan hal ini diakui banyak pihak sehingga menjadi agama yang paling pesat berkembang di dunia.

“Bagi Islam, nyawa dan kehidupan adalah nikmat dan anugerah yang wajibdihormati dan dipertahankan bukan sahaja secara individu, komuniti mahupunsecara kolektif oleh negara.

“Untuk menjunjung prinsip tersebut, setiap individu mestilah dididik dengan rasa hormat, toleransi, tolong menolong, menjunjung prinsip keadilan dan tidak melihat perbezaan kepercayaan sebagai musuh dan daya yang mencetuskan konflik.

“Tidak ada rasa benci atas perbezaan agama, budaya dan etnik. Syariat Islam pada dasarnya melindungi dan menghargai manusia sebagai individu yang bermartabat.

“Semua tindakan yang melawan kebebasan dan martabat manusia adalah bertentangan dengan syariat Islam. Kekerasan akan memunculkan kekerasan yang baru serta menumbuhsuburkan tradisi dendam kesumat.

“Islam datang untuk membangun masyarakat yang adil dan beradab. Islam adalah agama kasih sayang dan menebarkan rahmat bagi semesta alam (Rahmatan Lil-‘Alamin), kiranya pendekatan ini akan mampu memberikan solusi jangka panjang sebagai alternatif bagi permasalahan radikalisme,” ujarnya.