Malaysia Dateline

Tindakan SKMM minta Twitter padam ciapan kritik kerajaan dikecam

Adakah kerajaan yang diberi markah 90 peratus oleh Perdana Menteri tidak boleh dikritik oleh warganet sekarang?

Itu persoalan yang dilontarkan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi susulan laporan media mengatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta pihak Twitter memadamkan beberapa ciapan yang mengkritik kerajaan.

Menurut beliau, permintaan SKMM terbabit hanya akan menimbulkan persoalan sama ada kerajaan yang memerintah sekarang takut pada pandangan berbeza.

“Semasa bencana berlaku, ramai pengguna Twitter menularkan maklumat penting untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir. SKMM seharusnya memainkan peranan supaya semua maklumat penting ini disampaikan dengan lebih cekap dan telus.

“Walau bagaimanapun, SKMM memilih untuk menapis kritikan sahaja. Ini adalah satu perkembangan yang amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan bahawa SKMM gagal membuang ciapan di Twitter yang mengkritik cara kerajaan menangani banjir pada hujung minggu lalu, yang menjejaskan sebahagian besar penduduk terutama di Selangor dan Pahang.

Shu Qi berkata, sekiranya SKMM mahu memainkan peranan yang lebih bermakna, beliau mencadangkan agar badan itu menyiasat berita palsu ataupun maklumat palsu yang dimuat naik oleh beberapa pemimpin MCA semasa banjir berlaku.

Menurut beliau, pemimpin-pemimpin MCA terlibat menggunakan ciapan sebuah akaun palsu serta menuduh parti DAP menyalahgunakan gambar sukarelawan MCA untuk mengutip dana sedangkan DAP tidak menggunakan nombor akaun yang dituduh oleh pemimpin-pemimpin MCA tersebut.

“Malah, DAP tidak perlu menggunakan gambar sukarelawan MCA. Sandiwara politik MCA ini adalah punca rakyat membenci politik,” tegasnya.

Shu Qi berkata, beliau dimaklumkan pemimpin kebangsaan MCA turut kongsikan maklumat palsu tersebut dalam grup aplikasi WhatsApp serta menyebarkannya di media sosial.

“Adakah SKMM bersedia untuk menyiasat pegawai ibu pejabat MCA yang muat naik berita palsu tersebut dan pemimpin mereka yang turut kongsikan maklumat palsu semasa bencana? Ataupun SKMM hanya bertanggungjawab untuk memadam kritikan?” soalnya.

Sementara itu, peguam, Syahredzan Johan dalam kenyataannya semalam memberitahu, walaupun pihak Twitter telah menolak permintaan SKMM, tindakan SKMM itu seharusnya dikecam.

Beliau berkata, SKMM masih menggunakan ‘playbook’ yang sama seperti Kerajaan BN sebelum ini, iaitu dengan membungkam suara rakyat yang kritikal terhadap pemerintah.

“Kerajaan dan SKMM diingatkan bahawa kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hak ini tidak boleh disekat dengan sewenang-wenangnya mengikut selera pemerintah.

“Dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, rakyat berhak menyuarakan pendapat, pandangan atau kritikan terhadap mana-mana Kerajaan, tanpa sekatan yang tidak wajar dan tidak munasabah,” katanya.

Tambahnya, jelas bahawa pihak Kerajaan amat tidak senang dengan kritikan rakyat berkenaan dengan cara mereka menangani banjir tempoh hari, sehinggakan mereka bertindak untuk memadam ciapan-ciapan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir baru-baru ini supaya perkara sama tidak berulang kembali dan bukan melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan harus segera mengarahkan SKMM supaya tidak lagi cuba melenyapkan suara rakyat dengan memadam ciapan yang mengkritik mereka. Hak rakyat harus dihormati dan didukung. Tanpa rakyat, siapalah kerajaan?” katanya.