Malaysia Dateline

Tindakan Speaker wajar bukti negara amal demokrasi berparlimen

Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah wajar.

Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (Kanun) berpendapat, usul undi tidak percaya yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir pada sesi parlimen akan datang untuk menguji sejauhmana sokongan sebenar ahli-ahli Parlimen terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Bahkan menurut Kanun pendekatan ini wajar dilakukan sebagai bukti negara mengamalkan demokrasi berparlimen bukannya melalui percaturan politik belakang.

Semalam, Mohamad Ariff telah menerima usul daripada Tun Mahathir yang mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff berkata, usul Tun Dr Mahathir di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat yang dijangka bersidang 18 Mei ini.

Dalam kenyataan itu, Ariff menyebut beliau telah menerima usul dari tiga Ahli Parlimen iaitu Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), Datuk Seri Shafie Apdal (Semporna) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi).