Tindakan SPRM menangkap Lim Guan Eng mengaibkan

Tindakan SPRM menangkap Lim Guan Eng mengaibkan

Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (Kanun) menyelar cara tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Melaysia (SPRM) ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa bertujuan mengaibkan pemimpin DAP itu.

Timbalan Pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, SPRM boleh bertindak dengan lebih berhemah seperti menghubungi Lim dan memberitahu tarikh kehadiran ke mahkamah seperti yang lazim dilakukan ke atas tertuduh lain, tanpa perlu menghantar anggota yang ramai untuk menangkap Lim di pejabatnya.

“Kanun mendapati sepanjang tempoh siasatan itu dibuat Lim Guan Eng telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM. Malah, beliau juga telah membuka pintu rumahnya untuk SPRM membuat lawatan.

“Oleh itu, Kanun tidak nampak Lim Guan Eng akan melarikan diri atau tidak hadir jika dipanggil untuk dituduh di mahkamah. Tangkapan sehari sebelum dituduh itu adalah di luar amalan biasa dan bertujuan untuk mengaibkan beliau.

“Kehadiran ramai pegawai SPRM untuk membuat tangkapan itu seolah-olah membayangkan ia ‘wayang’ yang dirancang bagi meraih publisiti murahan daripada media massa di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim ditahan SPRM di tingkat 28 bangunan Komtar pada jam 5.45 petang selepas beliau selesai mempengerusikan mesyuarat mingguan exco.

Wan Anwar turut berkata, tindakan ke atas Lim jauh berbeza berbanding tindakan dan layanan yang diterima oleh pihak yang disiasat berkaitan skandal RM2.6 billion dan 1MDB.

“Tiada ‘wayang’ dibuat malah semuanya dianggap rahsia kerajaan yang tidak berkaitan dengan rakyat. Walhal kebusukan skandal RM2.6 billon dan 1MDB itu seakan ‘bangkai gajah yang telah ditutup dengan daun pisang’,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap Lim dan keluarga dapat mengambil semangat bulan Ramadan ini untuk memperteguhkan prinsip perjuangan dan tidak terganggu dengan tindakan ini kerana Kanun percaya pengangkapan ini sebahagian daripada usaha terancang pihak tertentu bagi menjatuhkan kerjaaan negeri di bawah Pakatan Harapan.

“Walaupun Barisan Nasional mendapat semangat baru selepas keputusan pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Kanun tetap percaya akhirnya rakyat akan memilih Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan yang berintegriti dan bermaruah.

“Akhir sekali, Kanun menyeru kepada semua penyokong Pakatan Harapan khususnya ahli dan penyokong Parti Amanah Negara untuk terus meningkatkan daya dan semangat juang supaya hasrat untuk menggantikan Barisan Nasional akan menjadi kenyataan,” katanya.

Semalam Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Pemilik banglo Phang Li Koon, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Guan Eng dikenakan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Manakala Phang Li Khoon dikenakan ikan jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.

Mereka berdua dibicarakan di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Azmi Ariffin di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Pengurusan kes ditetapkan pada 22 September bagi menetapkan tarikh perbicaraan bersama kedua-dua tertuduh.

COMMENTS

Wordpress (0)