Malaysia Dateline

Tindakan tegas diambil premis niaga lepas kumbahan domestik, kata Pengerusi SPAN

Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana premis perniagaan yang mengalirkan air kumbahan domestik secara berlebihan sehingga menyebabkan pencemaran dan kesan negatif bukan saja kepada alam semitar tetapi juga kepada penduduk setempat.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Air Negara (SPAN) Charles Santiago ketika ditemui selepas meninjau premis perniagaan Icon City dan loji rawatan kumbahan Taman Sejati di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, semalam.

Jelasnya, semua premis perniagaan harus mengalirkan air kumbahan mereka mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa semasa mereka memohon untuk mendapatkan lesen perniagaan sebelum ini.

“Piawaian kualiti alam sekitar harus dipatuhi oleh semua premis.

“Apabila piawaian ini tidak dipatuhi dan pembuangan air kumbahan tidak mengikut prosidur yang sepatutnya ia telah memberi kesan yang buruk kepada alam sekitar maupun penduduk sekitar.

“Ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi juga menghasilkan bau yang busuk dan tidak menyenangkan penduduk dan kawasan sekitar, ” tegasnya.

Charles sedang meninjau salah satu kawasan kumbahan di premis perniagaan di Bukit Tengah.

Ujarnya lagi, piawaian yang telah ditetapkan menunjukkan bentuk pengoperasian yang amat tidak memuaskan sehingga menyebabkan masalah ini khususnya di kawasan Icon City berlarutan sejak tahun 2016 lagi.

“Lebih menyedihkan apabila air kumbahan yang diterima oleh loji rawatan kumbahan sedia ada dalam kawasan Taman Sejati, Bukit Tengah mengandungi sisa makanan, gris dan minyak yang tinggi.

“Kesan daripada itu telah menyebabkan pengoperasian loji rawatan kumbahan taman tersebut telah gagal.

“Ianya berpunca daripada pelepasan sisa makanan dan minyak yang berlebihan dari pusat perniagaan tersebut, ” tambah beliau.

Sejajar dengan itu katanya, pemilik premis perniagaan harus memasang alat perangkap minyak dengan kadar segera.

Malah tegas beliau, penyelenggaraan juga harus dilaksanakan secara berkala oleh premis-premis perniagaan tersebut.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana premis perniagaan yang gagal untuk memasang dan menyelenggarakan perangkap minyak dengan sempurna.

“SPAN akan turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai bagi memastikan piawaian yang telah ditetapkan di patuhi.

“Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang akan menjadi keutamaan bagi memastikan tiada lagi pencemaran dan kesihatan penduduk terganggu di kawasan terlibat, ” saran beliau.

Hadir sama ialah Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, Phee Boon Poh, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto dan Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.