Tindakan terhadap Adun Tronoh diputuskan selepas siasatan polis selesai, kata Guan Eng

Tindakan terhadap Adun Tronoh diputuskan selepas siasatan polis selesai, kata Guan Eng

Tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya, hanya akan diputuskan DAP selepas siasatan polis selesai.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pimpinan negeri Perak juga bersetuju untuk menunggu sehingga siasatan polis selesai, sebelum memutuskan kedudukan Choo Kiong dalam kerajaan negeri.

“DAP Perak juga diminta menguruskan isu membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, dan Kampung Baharu Perak itu, dan melaporkan kepada saya.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar Perak (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu), dan kami di peringkat parti atau pimpinan negeri, akan menunggu hasil siasatan pihak polis.

“Kita tunggu sebelum keputusan dibuat. Itu yang kita putuskan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Menteri Kewangan itu mengulas demikian ketika ditanya mengenai tindakan DAP terhadap Choo Kiong yang berdepan dakwaan merogol pembantu rumahnya, termasuk sama ada Adun Tronoh itu perlu bercuti.

Pada 8 Julai lalu, pembantu rumah Yong, wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan di Balai Polis Jelapang mendakwa dirogol Exco berkenaan di rumah majikannya itu di Meru, Ipoh, Perak.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid mengesahkan Exco berkenaan ditahan pada Selasa, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.