Malaysia Dateline

Tindakan terhadap Fuziah ‘overzealous’, kata peguam

Pihak kerajaan tidak perlu memperbesarkan isu kesilapan ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang didakwa membuat naik video lama di facebook beliau kerana ia sudah dibuang secara sukarela.

Peguam beliau, Ahmad Nizam Abdul Hamid berkata, video itu telah dibuat turun secara sukarela dari facebook Fuziah beberapa jam selepas ia dimuatnaik sebaik sahaja menyedari ia video lama.

“Jika kes ini diambil tindakan, ia satu tindakan ‘overzealous’ (berlebihan) kerana video itu telah dibuat turun semula beberapa jam selepas ianya dinaikkan apabila mengetahui ia tidak betul.

“Video ini telah dibuat naik ke dalam facebook Fuziah kira-kira jam 9 – 10 malam manakala selepas ia disedari ia  tidak betul, ia dibuat turun jam 1- 2 pagi pada hari itu juga.

“Manakala laporan yang dibuat oleh Imigresen terhadapnya hanya pada keesokan harinya,” cerita Ahmad Nizam kepada Malaysia Dateline.

AHMAD NIZAM HAMID

Rakaman video yang menunjukkan orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) di Johor Bahru telah dibuat naik menerusi akaun Facebook (FB) milik Fuziah.

Beberapa jam selepas menyedari ia video lama, ia telah diturunkkan semula.

“Fuziah tidak ada niat jahat di sini. Ia bertujuan untuk memberikan peringatan kepada kerajaan sahaja.

“Selepas menyedari ia video lama, ia telah diturunkan semula sebelum laporan polis dibuat oleh pihak Imigresen mengenainya,” kata Nizam.

Polis telah memanggil Fuziah dan merakamkan kenyataan dari beliau selepas laporan dibuat terhadap bekas Timbalan Menteri Agama itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya turut merampas gajet yang digunakan untuk memuat naik video dan kenyataan berkenaan.

“Pada 10 April (Jumaat) lalu, polis sudah menjalankan siasatan berhubung satu kenyataan dan video yang dimuat naik pemilik akaun Fuziah Salleh di FB.

“Pengarah Jabatan Imigresen Johor sudah menafikan perkara berkenaan sebelum memuat laporan polis berhubung perkara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Huzir berkata, siasatan diklasifikasi mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.